Buletin

TIDAK SENSITIF DENGAN KESUSAHAN RAKYAT, 7 DITAHAN KERANA PAMER KERETA MEWAH DI RUSIA

Nampaknya, Vladimir Putin tidak peduli dengan rakyat Rusia yang kaya dan mempamerkan kekayaan mereka ketika ekonomi negara itu berada dalam keadaan tidak stabil. Baru-baru ini, puluhan orang kaya di Rusia ditangkap selepas berhimpun dengan supercar eksotik mereka di Moscow.

Lebih 170 kereta mewah disita melibatkan model Porsche, Lamborghini, Ferrari dan Rolls-Royce. Tujuh pemilik kenderaan itu juga dipenjarakan sehingga 15 hari.

Dalam usaha untuk membanteras protes dan perbezaan pendapat politik berikutan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, Putin melaksanakan dasar sifar toleransi  untuk sebarang perhimpunan awam yang tidak dirancang secara khusus oleh kerajaan.

Ironinya, keadaan ekonomi teruk yang dialami rakyat adalah disebabkan oleh sekatan yang dikenakan ke atas Rusia oleh negara-negara barat berikutan pencerobohan negara itu ke atas Ukraine.

Tindakan mempamerkan kekayaan seperti itu tidak pernah menjadi isu sebelum ini. Tetapi, dengan laporan kematian tentera Rusia yang besar, Putin mahu mengekalkan imej kawalan ke atas rakyatnya. Ia turut mengejutkan penganjur perhimpunan tersebut, Alexei Khitrov yang menganggapnya seperti satu jenaka.

“Apa yang sah semalam mungkin dilarang hari ini, kebanyakan orang masih belum menyedarinya,” kata Ketua Yayasan Politik St. Petersburg Mikhail Vinogradov. “Bagi pihak berkuasa, prinsipnya ialah tiada acara awam dibenarkan kecuali yang kami anjurkan sendiri.”

Senator Rusia, Mikhail Dzhabarov berkata orang kaya Rusia yang ditangkap harus dihantar untuk membantu tentera di Ukraine. Walaupun tiada seorang pun daripada mereka tahu bagaimana untuk berperang.

“Mereka mampu untuk membantu dalam kerja-kerja di sebalik tadbir atau sebagai pengawal di hospital tentera,” katanya.

Sudah tentu, mempamerkan kekayaan melampau semasa  ekonomi suram adalah sangat tidak sesuai ketika ramai rakyat sedang bergelut untuk terus hidup. Lebih-lebih lagi sewaktu rakyat Rusia turut menentang peperangan yang menyebabkan terjadinya masalah kewangan.

Google ads
Back to top button