Buletin

BROKER KERETA MEWAH LEJEN, TOM HARTLEY JUAL BELI KERETA MEWAH MANA-MANA SAHAJA. DI SAUNA, ATAS KAPAL TERBANG

Pada tahun 1992, Tom Hartley berada dalam kesesakan lalu lintas di pinggir Hyde Park di London dan tertarik dengan sebuah Bentley klasik. Dia segera menurunkan tingkapnya dan memulakan perbualan dengan lelaki di tempat duduk belakang.

“Saya membeli kereta itu daripadanya dalam kesesakan lalu lintas. Kami berhenti, dia keluar, saya membuat invois dan kami mengambil kereta itu dari alamatnya pada hari itu juga,” katanya kepada Insider. “Sudah tentu, saya menjualnya beberapa hari kemudian.”

Ini adalah tipikal bagi Hartley yang menghabiskan hari-harinya membroker tawaran untuk kereta super dan klasik daripada pengeluar seperti Ferrari serta Lamborghini. Bahkan, dia memberitau pernah membeli kereta di sauna, di kolam renang dan di dalam kapal terbang.

Hartley yang kini berusia 60 tahun menjalankan bilik pameran kereta mewah di ladang keluarga seluas 48 ekar di Derbyshire. Dia berkata pasukannya menjual antara 40 hingga 50 kenderaan sebulan. Antara pelanggannya termasuklah Elton John, Rod Stewart, Nicolas Cage dan Rory McIlroy.

Harga jualan purata kenderaannya ialah sekitar AS$286,000 (RM1.3 juta), tetapi untuk Ferrari yang jarang ditemui boleh mencecah AS$30 juta (RM114 juta).

Ketika dewasa, bapa Hartley memiliki perniagaan permaidani. Hartley menghabiskan sebahagian besar masanya di kedai. Dari situ, dia mula berminat dengan bidang jualan selain melihat keluarganya sering menukar kereta setiap beberapa bulan. Hartley merasakan ia adalah industri yang begitu sesuai untuk diceburi.

Perjanjian pertamanya ialah menjadi broker penjualan Range Rover mewah di antara dua kenalan bapanya ketika dia masih remaja, sebelum mula menjual barangan mewah yang sukar dicari kepada pelanggan.

Dia kemudiannya membeli kereta daripada pengeluar seperti BMW, Mercedes dan Porsche yang kebanyakannya berpangkalan di Jerman, lalu mengimportnya ke UK untuk dijual semula kepada pembeli.

Namun apabila jenama kereta mula bertindak keras terhadap pengedar tidak sah, dia segera beralih kepada membeli bekalan daripada pemilik kereta.

Tidak lama kemudian, dia melihat seorang lelaki berhenti di luar sebuah hotel mewah di London memandu Jaguar Daimler XJ40 serba baharu lalu membeli kereta dari lelaki tersebut pada harga AS$2,998 (RM14,218) lebih tinggi berbanding harga yang diminta.

Dalam beberapa hari kemudian, dia telah menjualnya kepada pembeli yang gagal mendapatkan kenderaan tersebut dari pengilang pada harga AS$41,974 (RM199,061).

Hartley berkata dia mendapat kira-kira lima pelanggan sehari dan mengambil pelawat mengikut temu janji sahaja. Walaupun dunia kereta kebanyakannya dikuasai oleh lelaki, Hartley berkata sekitar 20 peratus pelanggannya adalah wanita.

Mereka yang singgah di bilik pamerannya boleh menjangkakan lebih daripada sekadar pilihan kereta unik. Pelanggan boleh menikmati spa dan pawagam peribadi, serta restoran. Kadang-kadang, “Saya mahu mencipta pengalaman membeli kereta terpakai,” katanya.

Selain itu, terdapat helipad untuk mereka yang melakukan perjalanan melalui udara, selain perkhidmatan mengambil pelanggan dari lapangan terbang peribadi berdekatan.

Walaupun berada di sekeliling kereta mahal 24/7, dia tidak pernah memiliki kereta mewah untuk dirinya. “Saya selalu katakan apabila anda berjalan di ladang Hartley, semua ada harganya, kecuali isteri saya.”

Google ads
Back to top button