Buletin

MERCEDES GLC 200 4MATIC 2025 DILANCARKAN DI MALAYSIA – HARGA BERMULA RM329K

Mercedes-Benz Malaysia hari ini melancarkan GLC 200 4MATIC generasi X254, ditawarkan pada harga RM329,888 atas jalan tanpa insurans.

Dipasang secara tempatan (CKD), model ini tampil bergaya dengan pakej AMG Line yang merangkumi bampar lebih agresif dan kemasan sport.

Lampu utama LED High Performance melengkapkan penampilan hadapan, manakala rel bumbung aluminium dan running board bergaya turut diberikan. Ia diserlahkan lagi melalui rim AMG 20-inci dan dipadankan bersama tayar 255/45R20 di hadapan dan 285/40R20 di belakang.

Di bahagian dalam, ia dilengkapi pakej dalaman AMG Line yang menggunakan upholsteri Artico. Kerusi hadapan hadir dengan pemanas, pelarasan elektrik dan fungsi memori. Stereng pelbagai fungsi dibalut kulit Nappa, sementara kemasan dalaman menggunakan kombinasi kayu anthracite lime-structure serta konsol tengah bertekstur logam.

Ciri lain termasuk pencahayaan ambien 64 warna, kawalan iklim Thermatic, tirai gelongsor pada pintu belakang, kaca penebat haba dan bunyi, serta pakej Comfort Plus yang merangkumi Keyless Go, akses tanpa sentuh, pintu belakang Easy-Pack, cermin lipat automatik dan pakej ruang but dengan sokongan lipatan kerusi belakang serta soket 12V.

Ruang simpanan belakang kini 620 liter, lebih besar berbanding 490 liter pada GLC 350e PHEV.

MBUX menjadi tunjang sistem infotainmen, digandingkan dengan paparan pemandu 12.3-inci dan skrin tengah 11.9-inci lengkap penderia cap jari.

Mod off-road turut menampilkan paparan kamera “transparent bonnet” yang memudahkan pemanduan di laluan tidak rata. Turut tersedia adalah sambungan telefon pintar menyokong Apple CarPlay dan Android Auto.

Pembeli juga boleh menambah pilihan seperti MBUX Navigation Premium, MBUX Augmented Reality Navigation serta pra-pemasangan untuk maklumat trafik masa nyata. Bukan itu sahaja, melengkapi ruang kabin adalah kemudahan seperti pad pengecas tanpa wayar di hadapan serta enam port USB-C pengecasan pantas di seluruh kabin.

Beralih pada kuasa pula, model ini dikuasakan oleh enjin petrol 2.0 liter turbo empat silinder yang menghasilkan 204PS dan 320Nm. Sistem mild-hybrid 48V pula menyuntik tambahan kuasa sebanyak 23PS dan 205Nm.

Keseluruhan kuasa disalurkan ke semua roda menerusi transmisi automatik 9G-Tronic sembilan kelajuan. Dengan kombinasi ini, GLC200 mampu memecut dari 0–100 km/j dalam 7.8 saat.

Antara ciri keselamatan yang disertakan termasuk;

  • Blind spot assist
  • Active lane keeping assist
  • Active brake assist
  • Active parking assist with Parktronic.

Seperti dinyatakan di atas, GLC 200 4MATIC ditawarkan pada harga RM329,888 atas jalan tanpa insurans.

GALERI:

Google ads
Back to top button