
HARGA NAIK, TOYOTA COROLLA BERMULA DARI RM135 RIBU, CAMRY DARI RM220 RIBU
UMW Toyota Motor telah mengemaskini harga jualan bagi dua buah sedan iaitu Toyota Corolla dan Toyota Camry untuk pasaran Malaysia.
Bermula 3 Januari 2023, harga jualan Corolla meningkat RM4,000 kepada RM134,888 untuk varian 1.8E, sementara varian tertinggi pula dijual pada harga RM145,888.
Toyota Camry facelift yang telah dilancarkan pada tahun lalu turut menerima tempias kenaikan harga, di mana ia dijual RM10,000 lebih mahal berbanding harga terdahulu, bermula dari RM219,800.

Dari segi spesifikasi, Toyota Corolla dikuasakan oleh enjin 1.8 liter 2ZR-FE yang mampu menjana 139 PS pada 6,400 rpm dan daya kilas 172 Nm pada 4,000 rpm yang dipadankan dengan transmisi CVT.
Sementara Toyota Camry pula menampilkan enjin Dynamic Force 2.5 liter A25A-FKS dengan kuasa 209 PS pada 6,600 rpm dan 253 Nm @ 5,000 rpm, dipadankan dengan transmisi Direct Shift lapan nisbah kelajuan.









