Buletin

CHERY BUKA TEMPAHAN TIGGO 7 PRO DAN TIGGO 8 PRO DI INDONESIA

Di Pameran Auto Antarabangsa Gaikindo Indonesia (GIIAS) yang sedang berlangsung dari 11hb-21hb Ogos, Chery secara rasmi membuka tempahan untuk model Tiggo 7 Pro dan Tiggo 8 Pro.

Dua model Tiggo Pro Family itu ditawarkan di Indonesia dengan jaminan selama  enam tahun/150,000km serta waranti enjin 10 tahun/satu juta kilometer.

Tiggo 8 Pro merupakan SUV tujuh tempat duduk dengan ciri-ciri premium yang terserlah melalui falsafah reka bentuk ‘Life in Motion 3.0’. Gril hadapan geometric matrix diamond serta lampu hadapan LED memberikan penampilan lebih mantap.

Manakala bahagian dalaman menggunakan susun atur cockpit-surround untuk mewujudkan suasana yang dinamik, selesa dan mewah.

Tiggo 8 Pro didatangkan dengan sistem audio Sony bersama lapan unit pembesar suara, lampu ambien pelbagai warna, bumbung panoramik serta upholsteri dwi-tona hitam dan coklat.

Tiga skrin yang terdiri daripada panel instrumen 12.3 inci, skrin kawalan iklim lapan inci dan skrin infotainmen ​​membolehkan kawalan hampir semua fungsi kenderaan sambil mengintegrasikan ketersambungan peranti mudah alih.

Menyumbang kepada teknologi canggih dan keselamatan adalah Advanced Driver Assistance System (ADAS) yang merangkumi 12 fungsi termasuk Adaptive Cruise Control (ACC), Autonomous Emergency Braking (AEB) dan Forward Collision Warning (FCW) dan kamera 360 darjah.

Dibantu oleh pengecasan turbo serta kecekapan haba yang tinggi, enjin siri ACTECO generasi ketiga 1.6 TGDI menawarkan kuasa 197PS dan tork 290Nm ke roda hadapan melalui transmisi klac berkembar tujuh-kelajuan.

Dibangunkan oleh Chery, transmisi tersebut mempunyai kecekapan sebanyak 96 peratus untuk membolehkan penghantaran kuasa yang lancar.

Tiggo 7 Pro pula merupakan ‘adik’ kepada Tiggo 8 Pro. Dengan gril hadapan geometric matrix diamond yang berbucu lebih tajam, lampu hadapan matriks LED pintar, lampu belakang through-type serta ilusi bumbung terapung, Tiggo 7 Pro mempamerkan gayaan tersendiri dan berteknologi tinggi.

Ruang kabin Tiggo 7 Pro dilengkapi panel instrumen LCD tujuh inci, skrin kawalan tengah 10.25 inci dan skrin kawalan iklim lapan inci yang memberikan pengalaman sentuhan interaktif.

Kamera 360 darjah serta skrin kawalan tengah yang luas memberikan pandangan yang jelas, memudahkan pengendalian kenderaan serta meningkatkan keselamatan.

Tiggo 7 Pro turut didatangkan dengan pintu belakang elektrik induktif, pengecasan peranti mudah alih tanpa wayar, gearshift elektronik dan arahan suara.

Sistem gantungan hadapan terdiri daripada topang  MacPherson bebas dan multi-link di belakang untuk kualiti pemanduan yang seronok serta selesa.

Semua varian didatangkan dengan tempat duduk dibalut kulit, pendingin hawa dwi-zon automatik, enam beg udara dan kawalan kestabilan Bosch. Tidak ketinggalan, lebih 10 fungsi ADAS termasuklah lane keeping, adaptive cruise control dan brek kecemasan.

Tiggo 8 Pro, Tiggo 7 Pro serta OMODA 5 merupakan antara model Chery yang sedang dirancang untuk Malaysia.

Chery sedang bekerjasama rapat dengan rakan-rakan niaga tempatan untuk mewujudkan operasi pemasangan di Malaysia serta ke arah pembaharuan jenama nya.

Langkah itu yang akan menyaksikan pembangunan rangkaian jualan dan selepas jualan baharu di seluruh negara untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat Malaysia.

Google ads
Back to top button