Buletin

CHERY PAMER KERETA TERBANG TANPA PEMANDU – JALANI UJIAN PENERBANGAN SEJAUH 80KM

Chery baru-baru ini telah mempamerkan prototaip kereta terbang tanpa pemandu, dikenali sebagai “Land and Air Vehicle”.

Chery turut mendedahkan bahawa prototaip ini masih dalam fasa pembangunan dan berjaya menjalani ujian penerbangan sejauh 80 km.

Kereta terbang ini mempunyai reka bentuk hibrid dengan tiga komponen utama iaitu pesawat, kokpit pintar, dan casis pintar.

Uniknya, kenderaan ini tidak dilengkapi stereng atau pedal minyak. Ia direka untuk berfungsi dalam dua mod iaitu mod penerbangan autonomi dan mod pemanduan autonomi di darat.

Matlamat utamanya adalah untuk mengatasi masalah kesesakan lalu lintas bandar dengan memberikan penyelesaian komuter jarak pendek yang lebih cekap.

Dalam mod penerbangan, kenderaan ini mampu berlepas dan mendarat secara menegak.

Berdasarkan maklumat terdahulu, kereta terbang ini dibina menggunakan seni bina pintar Mars S2ma yang berskala, direka untuk membawa dua orang.

Ketinggian penerbangannya adalah di bawah 1,000 meter, dengan kelajuan maksimum 120km/j dan tempoh penerbangan sekitar 40 minit.

Kereta terbang ini adalah kenderaan elektrik dan berkeupayaan untuk berlepas serta mendarat tanpa memerlukan landasan. Secara amnya, ia beroperasi secara autonomi dengan campur tangan manusia hanya diperlukan dalam situasi kecemasan.

Selain Chery, beberapa syarikat automotif lain seperti Xpeng, GAC, SAIC, dan Geely juga telah berjaya mempamerkan kereta terbang mereka.

Pada Mac 2024, kereta terbang Xpeng dengan rotor telah terbang melintasi Guangzhou, China. Sementara itu, pada 20 Jun 2024, platform pengurusan lalu lintas altitud rendah di Chengdu melancarkan ujian penerbangan pertama dengan mengesahkan kebolehan perjalanan altitud rendah yang dikendalikan oleh anak syarikat Geely.

Melihat kepada perkembangan pesat teknologi ini, komersialisasi kereta terbang mungkin akan berlaku lebih pantas daripada jangkaan ramai, sepertimana yang berlaku pada kenderaan autonomi.

Walau bagaimanapun, isu keselamatan masih menjadi kebimbangan utama masyarakat.

Google ads
Back to top button