Motosikal

HONDA TRAIL 125 MASUK MALAYSIA 2025

Ketika ini kapcai gaya ‘adventure’ seperti Yamaha PG-1 dan AVETA Ranger Max Explorer semakin mendapat perhatian ramai. 

Antara daya tarikan utama kedua-dua motosikal ini adalah reka bentuk yang ranggi, tampak lasak selain cukup praktikal bukan sahaja tunggangan di jalan raya malah ‘off-road’. Selain itu, kedua-duanya juga hadir dengan tanda harga yang menarik selain menawarkan kelainan berbanding kapcai biasa yang ada di Malaysia selama ini. 

Terbaru, kami difahamkan Boon Siew Honda (BSH) juga akan turut menyertai segmen yang semakin mendapat perhatian ini. 

Menurut sumber, Honda akan turut memperkenalkan Trail 125 untuk pasaran Malaysia tidak lama lagi. Meskipun tidak dinyatakan bila namun kami difahamkan model itu akan membuat penampilan sekitar tahun 2025. 

Untuk rekod, BSH pernah menawarkan Super Cub 125 namun ekoran kurang permintaan, model itu tidak lagi ditawarkan disni. Bagaimanapun, Trail 125 menawarkan kelainan meskipun dipacu enjin sama dengan Super Cub 125.  

Atas kertas, Trail 125 dikuasakan enjin satu silinder 124.9cc 4-stroke SOHC dengan sistem penyejukan udara dan PGM-Fi yang berupaya menjana 8.7hp dan 11Nm. Kuasa pula disalurkan menerusi transmisi semi-automatik 4-kelajuan. 

Menariknya, meskipun tampil dengan gaya retro klasik namun Trail 125 ini dilengkapi dengan ABS secara standard sekaligus menawarkan ciri keselamatan lebih baik berbanding pesaing lain dalam segmennya.

Perincian lain ditawarkan termasuk:

  • fork teleskopik 27mm depan
  • penyerap hentak berkembar belakang
  • ABS
  • cakera brek tunggal 220mm depan
  • cakera brek tunggal 190mm belakang
  • tayar 80/90-17 depan
  • tayar 80/90-17 belakang
  • kapasiti tangki 5.3L
  • berat basah 116kg

GALERI: HONDA TRAIL 125 2024

Google ads
Back to top button