Buletin

MAZDA BT-50 2025 DIDEDAHKAN – TAMPIL LEBIH AGRESIF, JANA 188HP

Mazda BT-50 mungkin tidak selalu berada di barisan hadapan pilihan trak pikap, tetapi dengan versi 2025 yang baharu, ia pasti akan menarik perhatian ramai.

Dahulunya berkongsi platform dengan Ford Ranger, BT-50 kini dibina berasaskan Isuzu D-Max, memberikan kombinasi prestasi dan reka bentuk lebih segar.

Seperti model Isuzu D-Max, Mazda BT-50 2025 menerima perubahan besar dengan pelbagai penambahbaikan untuk kekal relevan dalam pasaran trak pikap.

Perubahan paling ketara dapat dilihat di bahagian hadapan. Lampu utama baharu kini menyerupai model Mazda CX-5 dan CX-50, dengan gril hadapan yang direka semula untuk memberikan penampilan agresif.

Perincian lain termasuklah bampar dan rekaan rim baharu, pintu belakang dengan corak ridge serta reka bentuk lampu belakang LED baharu.

Di bahagian dalam, reka bentuk Mazda BT-50 2025 sebahagian besarnya mengekalkan susun atur daripada model sebelumnya.

Namun, terdapat beberapa perubahan ketara seperti skrin infotainmen bersaiz 9-inci, lebih besar daripada model sebelum ini.

Paparan multi-informasi pada kluster instrumen juga telah diperluaskan, manakala elemen analog pada papan pemuka dialihkan sedikit untuk memberi ruang kepada teknologi terkini.

Untuk membezakan BT-50 daripada Isuzu D-Max, Mazda turut menambah sentuhan premium pada panel dalaman dan dashboard. Trim lebih mewah dan bahan berkualiti tinggi digunakan, memberikan pengalaman dalaman lebih elegan.

Model ini turut dilengkapi dengan port USB-C, menambah keselesaan kepada pengguna, dan Android Auto tanpa wayar kini melengkapi Apple CarPlay tanpa wayar sedia ada.

Varian yang lebih tinggi menerima kelengkapan seperti kerusi kombinasi kulit dan suede Maztex, yang juga digunakan dalam model Mazda lain.

Bukan itu sahaja, sistem keselamatan turut dipertingkatkan dengan tambahan ciri seperti amaran lalu lintas belakang, bantuan trafik sesak, serta pengesanan motosikal.

Di bawah hud, tiada perubahan pada enjin bagi pasaran Australia. Mazda BT-50 2025 masih menggunakan enjin 3.0-liter turbodiesel yang sama seperti Isuzu D-Max, menghasilkan 188hp dan 450Nm tork, digandingkan dengan transmisi automatik 6-kelajuan.

Pilihan pacuan empat roda turut disediakan, lengkap dengan sistem pengurusan medan dan kunci pembeza belakang, menjadikan BT-50 2025 sebagai trak pikap serba boleh untuk pelbagai keadaan jalan.

Mazda BT-50 2025 dijangka akan terus menjadi pilihan utama bagi mereka yang mencari trak pikap dengan prestasi dan gaya agresif.

Google ads
Back to top button