ISU GANDAR BELAKANG PATAH – CHERY MALAYSIA SUDAH KENAL PASTI PUNCA, LANCAR LAMAN WEB UNTUK PERIKSA
Selepas menjalankan siasatan dalaman yang terperinci ke atas insiden melibatkan gandar belakang sebuah Omoda 5 baru-bari ini, Chery Auto Malaysia memaklumkan bahawa pihaknya akan membuat panggilan semula ke atas 600 unit Omoda 5.
Syarikat itu juga akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Pengangkutan bagi memastikan semua kenderaan yang terjejas itu dibaiki berdasarkan kepada sutandard keselamatan paling tinggi.
“Siasatan mendapati isu tersebut berlaku berikutan naik taraf kemudahan oleh vendor yang menyaksikan bahagian hujung mesin kimpalan automatik telah ditukar. Penggantian komponen tersebut menyebabkan timbul masalah kaliberasi yang tidak tepat,” jelas Naib Presiden Chery Auto Malaysia, Lee Wen Hsiang.
Chery Auto Malaysia memberitahu terdapat 60 unit Omoda 5 yang dihasilkan pada 15 Ogos 2023 mengalami masalah berkenaan. Justeru, syarikat telag mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengadakan kempen panggilan semula dan akan memeriksa gandar belakang 600 unit Omoda 5 yang dihasilkan di antara 14 hingga 17 Ogos 2023.
“Kami mengambil serius atas masalah ini dan dalam proses untuk menghubungi semua pelaggan terlibat. Kami meminta mereka membawa kenderaan masing-masing ke pusat servis sah untuk pemeriksaan lanjut. Chery Auto Malaysia juga telah melancarkan satu laman web bagi membolehkan pemilik Omoda 5 memeriksa kenderaan mereka terlibat atau sebaliknya,” kata Wen Hsiang lagi.
Pelanggan hanya perlu memasukkan Nombor Pengesahan Kenderaan (VIN) pada pautan ini: https://www.chery.my/chery-product-update. Kemudian, pusat servis dan juruteknik Chery Auto Malaysia akan bersedia untuk memberi perkhidmatan yang terbaik. Chery Auto Malaysia turut mengesahkan model lain Chery tidak terjejas.
Setakat 3 Mei 2024, Chery Auto Malaysia sudah menghubungi lebih 53% (32/60) pelanggan yang terlibat. Jika ada sebarang pertanyaan, sila hubungi talian 03-2771 7070 (Isnin hingga Jumaat, 8:30am – 5:30pm).