CHERY OMODA 5 TERIMA PENARAFAN 5-BINTANG ASEAN NCAP, PEROLEH SKOR 88.64 MATA
Chery Omoda 5 telah menerima penarafan lima-bintang dari ASEAN NCAP (Program Penilaian Kereta Baharu untuk Negara Asia Tenggara), NCAP di bawah protokol penilaian terkini ASEAN NCAP 2021-2025 dengan skor keseluruhan 88.64 mata.
Protokol terkini ASEAN NCAP 2021-2025 adalah berdasarkan empat kategori, merangkumi Perlindungan Penumpang Dewasa (AOP), Perlindungan Penumpang Kanak-Kanak (COP), Teknologi Bantuan Keselamatan (SAT) dan Keselamatan Motosikal (MS).
Berikut adalah perincian skor untuk model Chery Omoda 5:
- Perlindungan Penumpang Dewasa (AOP) – 36.77 mata daripada 40.00 mata keseluruhan
- Perlindungan Penumpang Kanak-Kanak (COP) – 17.36 mata daripada 20.00 mata keseluruhan
- Bantuan Keselamatan (SA) – 19.51 mata daripada 20.00 mata keseluruhan
- Keselamatan Motosikal (MS) – 15.00 mata daripada 20.00 mata keseluruhan
SUV segmen-B ini menawarkan pelbagai ciri keselamatan sebagai kelengkapan standard dalam semua variannya yang terdiri daripada:
- Enam beg udara
- Sistem Brek Anti-kunci (ABS)
- Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC)
- Sistem Peringatan Tali Ledar (SBR)
- Brek Kecemasan Kendiri (AEB) Bandar
- AEB Antara Bandar
- Pengesanan Bintik Buta (BSD)
- Pancaran Lampu Tinggi Auto (AHB)
- teknologi Perlindungan Pejalan Kaki (PP)
Selain itu, Omoda 5 turut didatangkan dengan beberapa ciri bantuan keselamatan lanjutan, sama ada sebagai kelengkapan standard ataupun pilihan.
Ciri-ciri ini terdiri daripada sistem Amaran Tersasar Lorong (LDW), Amaran Perlanggaran Hadapan (FCW) serta Bantuan Kekal Lorong (LKA).
Chery Omoda 5 pasaran Malaysia didatangkan dalam dua varian iaitu C dan H.
Model Chery Omoda 5 berspesifikasi Malaysia menampilkan enjin petrol empat silinder pengecas turbo 1.5 liter, menghasilkan 156hp dan tork 230Nm.
Nadi berkenaan dipadankan bersama continuously variable transmission (CVT) 9-kelajuan.
Untuk harga, Omoda 5 varian C dijual pada harga bermula RM108,800 sementara Omoda 5 varian H diberi tanda harga RM118,800.