Buletin

GANDAR BELAKANG TERCABUT: JPJ GANTUNG SEMENTARA VTA CHERY OMODA 5

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menggantung sementara Sijil Kelulusan Jenis Kenderaan (VTA) bagi model dan varian Chery Omoda 5 yang terlibat dalam isu keselamatan susulan insiden tular di Johor Bahru, minggu lalu.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, tindakan itu turut melibatkan penangguhan pendaftaran baharu kenderaan berkenaan sehingga siasatan teknikal selesai dan risiko keselamatan dikenal pasti.

Menurutnya, langkah berkenaan diambil sebagai tindakan pencegahan awal bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terpelihara.

“JPJ memandang serius insiden tular melibatkan sebuah kenderaan Chery Omoda 5 yang berlaku di Johor Bahru, minggu lalu, sehingga menimbulkan kebimbangan orang ramai terhadap aspek keselamatan kenderaan berkenaan.

“Sebagai langkah pencegahan awal, JPJ akan menggantung sementara VTA yang berkaitan, sekali gus menangguhkan pendaftaran baharu Chery Omoda 5 sehingga siasatan teknikal selesai dan risiko keselamatan dapat dikenal pasti,” katanya.

Beliau berkata, penggantungan itu akan dilaksanakan secara bersasar terhadap model dan varian yang berpotensi terlibat.

Dalam masa sama, katanya, Chery Malaysia dikehendaki mengenal pasti semua unit kenderaan yang berpotensi terjejas berdasarkan nombor komponen, kelompok pengeluaran, nombor casis (VIN) serta parameter teknikal berkaitan.

Katanya, proses pemanggilan semula perlu dilaksanakan terhadap semua kenderaan yang dikenal pasti berisiko bagi membolehkan pemeriksaan dan tindakan pembetulan sewajarnya dilakukan.

“JPJ turut melaksanakan audit teknikal terhadap proses pengeluaran dan pemasangan Chery Omoda 5 serta pembekal komponen gandar berkaitan.

“Audit itu merangkumi pematuhan amalan pengilangan yang baik (GMP), sistem kawalan kualiti, prosedur pemeriksaan sambungan kimpalan serta tahap keselamatan komponen yang digunakan,” ujarnya.

Beliau menambah, pihak pengeluar bertanggungjawab memastikan setiap kenderaan yang dipasarkan memenuhi piawaian keselamatan dan keperluan teknikal yang ditetapkan.

“Penggantungan itu hanya akan ditarik balik selepas semua tindakan pembetulan dan pencegahan dilaksanakan sepenuhnya serta mendapat pengesahan teknikal daripada JPJ bahawa segala risiko keselamatan telah ditangani dengan sewajarnya,” jelasnya.

Terdahulu, tular di media sosial insiden axle (gandar belakang) sebuah kenderaan jenis Chery tercabut di Tebrau, Johor Bahru. – KOSMO! ONLINE

Google ads
Back to top button