
CHERY TIGGO 8 DILANCARKAN – 7 TEMPAT DUDUK, 197PS, HARGA BERMULA RM129K
Chery Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya dalam segmen SUV tempatan dengan memperkenalkan varian terbaharu TIGGO 8, yang kini menjadi pilihan lebih mampu milik dalam keluarga TIGGO, di samping model perdana TIGGO 8 PRO dan TIGGO 8 PHEV Chery Super Hybrid.
SUV tujuh tempat duduk ini direka untuk memenuhi keperluan keluarga moden yang mahukan gabungan prestasi, keselesaan dan nilai praktikal dalam satu pakej lengkap.
Di bahagian rangkaian kuasa, TIGGO 8 dikuasakan enjin 1.6 liter Turbocharged Gasoline Direct Injection (TGDi) yang digandingkan dengan transmisi dwi-klac 7-kelajuan (7-DCT), menghasilkan 197PS dan tork maksimum 290Nm.
Dari segi kecekapan bahan api, SUV ini mencatat penggunaan sekitar 7.0 liter bagi setiap 100 km, menjadikannya seimbang untuk kegunaan harian di bandar mahupun perjalanan jarak jauh.

Berdasarkan dimensinya, TIGGO 8 mempunyai panjang 4,772mm, lebar 1,860mm dan jarak roda 2,710mm, menyumbang kepada kestabilan serta keselesaan ketika dipandu.
Dengan berat kerb 1,590kg dan ruang but sehingga 1,930 liter, ia mampu menampung keperluan barangan harian atau peralatan sukan seperti beg golf. Ciri pintu but berkuasa turut memudahkan proses memuat dan mengeluarkan barangan hanya dengan satu sentuhan.
Bahagian dalaman TIGGO 8 direka untuk memberikan pengalaman pemanduan yang santai dan premium. Sistem penyaman udara automatik dua zon membolehkan suhu dilaraskan secara berasingan antara pemandu dan penumpang, manakala bumbung suria berkuasa dengan pelindung matahari terbina dalam memberikan suasana kabin yang lebih terang dan lapang.
Untuk hiburan, sistem audio premium Sony dengan lapan pembesar suara disediakan, selain sokongan Apple CarPlay dan Android Auto bagi memudahkan akses navigasi, muzik serta komunikasi.

Paparan infotainmen bersaiz 12.3-inci digandingkan dengan panel meter digital 10.25-inci, memastikan maklumat pemanduan dipaparkan dengan jelas.
Aspek keselamatan turut diberi keutamaan, dengan struktur badan yang menggunakan 74 peratus keluli berkekuatan tinggi serta enam beg udara untuk perlindungan penumpang.
TIGGO 8 turut dilengkapi sistem bantuan pemandu termaju (ADAS) yang merangkumi antaranya:
- Autonomous Emergency Braking (AEB)
- Forward & Rear Collision Warning (FCW, RCW)
- Lane Departure Warning (LDW)
- Blind Spot Detection (BSD)
- Door Open Warning (DOW)
- Adaptive Cruise Control (ACC)
- Intelligent High Beam Control (IHC)
- Distance Warning System (DWS)
Sistem kamera panoramik 360 darjah pula membantu meningkatkan penglihatan ketika memarkir atau bergerak di ruang sempit.

TIGGO 8 ditawarkan dalam dua pilihan warna:
- Dark Black
- Khaki White
Bagi pelanggan terawal, pakej pelancaran bernilai keseluruhan RM13,700 turut disediakan, merangkumi:
- Waranti kenderaan 7 tahun atau sehingga 150,000 km*
- Waranti enjin 10 tahun atau sehingga 1,000,000 km*
- Servis percuma selama 5 tahun (termasuk alat ganti dan buruh)*
- Program Insurans Chery selama 1 tahun*
Harga jualan ditetapkan pada:
- RM129,800 untuk Semenanjung Malaysia
- RM132,500 untuk Malaysia Timur
TIGGO 8 akan mula berada di semua bilik pameran Chery di seluruh negara bermula 24 Januari 2026.
*Tertakluk kepada terma dan syarat.
GALERI:


























