
CHERY JADI JENAMA KENDERAAN CHINA PERTAMA EKSPORT LEBIH 50K UNIT SEBULAN
Chery menjadi jenama kenderaan China pertama yang mengeksport lebih 50,000 unit kenderaan sebulan.
Pada Julai, syarikat itu menjual 50,614 unit di luar China (+90.1% berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu) daripada jumlah jualan global 131,533 kenderaan (+57.7% YoY).
Ia berjaya dicapai ketika cabaran seperti kesan COVID-19 dan kesukaran logistik masih dirasai. Dari Januari hingga Julai 2022, Chery mengeksport hampir 200,000 kenderaan (+36.8% YoY), mewakili kira-kira satu pertiga daripada jumlah jualan globalnya setakat tahun ini.
Chery amat komited terhadap strategi globalisasinya dan terus mencatat perkembangan yang ketara serta stabil di pasaran luar negara.
Sejak awal tahun, syarikat memecahkan rekod eksport bulanan jenama kenderaan China yang dipegang oleh Chery sendiri beberapa kali. Sekali gus mencatat kadar peningkatan purata 60.5 peratus dalam tiga bulan lalu.

Siri Tiggo 8 dan Tiggo 7 terus mendapat sambutan baik di peringkat global. Dalam tujuh bulan pertama 2022, sebanyak 31,263 unit siri Tiggo 8 telah dieksport (+43.3% YoY). Siri tersebut juga digunakan sebagai kenderaan presiden dan penyambut tetamu rasmi di beberapa negara dan wilayah.
Di Mesir, Chery menjual 1,846 kenderaan pada Julai, menjadikan jumlah jualan Januari-Julai kepada 12,591 unit. Sementara penguasaan pasaran pula mencecah 11.42 peratus bagi tempoh Januari-Jun.
Di Afrika Selatan, jualan Chery pada Julai mencapai 1,262 unit, melonjakkan angka jualan Januari-Julai kepada 6,380 unit, mewakili 4.01 peratus penguasaan pasaran yang merupakan rekod baharu.
Pada separuh kedua 2022, Chery akan terus mengukuhkan jenama, produk dan operasi pelanggannya serta mempercepatkan pelancaran kenderaan baharu, termasuklah OMODA 5.
Model pertama di bawah siri global baharu OMODA itu disasarkan kepada generasi muda di seluruh dunia dengan ciri-ciri berteknologi tinggi serta reka bentuk yang bergaya.
Sejajar dengan trend automotif global ke arah kenderaan tenaga baharu (NEV) yang merangkumi trenkuasa elektrik penuh, hibrid plug-in dan sistem mild-hybrid 48V. Chery menyasarkan untuk melancarkan NEV di 14 negara pada tahun ini termasuklah Brazil, Argentina dan Chile.







