
CHEVY CAMARO IROC-Z28 1987 MERAH MENYALA – KENANGAN ZAMAN KANAK-KANAK YANG INDAH
Sebaik melihat Camaro Z28 merah menyala ni apa yang terlintas di fikiran korang? Kalau tak rasa apa-apa tu mungkin sebab korang generasi Tiktok ataupun pernah menjalani operasi sunat laser. Kalau perkataan ‘Thunderhawk’ tiba-tiba terpacul dari mulut maknanya kita dari generasi yang sama.

Kalau ada duit kereta boleh diibaratkan sebagai kapsul masa. Bayangkan sebuah kereta tahun 1987 yang masih berbungkus dengan plastik dari kilang dan ingin dilepaskan oleh pemiliknya. Inilah Chevrolet Camaro IROC-Z28 tahun 1987 atau lebih dikenali sebagai Thunderhawk oleh peminat siri animasi MASK satu ketika dahulu.
Berbeza dengan model yang sama yang masih berada di luar sana, Camaro ini masih berada dalam keadaan terbaik macam baru keluar dari ruang pameran. Bukan 5 bintang tapi boleh bagi 10 bintang terus. Perbatuannya pula hanya 87 batu bersamaan dengan 140 kilometer sahaja.

Menurut pemiliknya sekarang yang bernama John G., kereta ini telah dibeli oleh bapa beliau pada tahun 1987 dan merupakan model full spec. Beliau kemudian memandunya untuk seketika sebelum menyimpannya di dalam garaj selama 37 tahun. 37 tahun tuan-tuan. Fuh.
Ia diiklankan untuk dijual di eBay oleh John G pada harga USD109,000! Ya, memang cukup mahal tapi kat mana lagi boleh dapat Camaro dalam keadaan sebegini. Prestasi 215 hp mungkin tak sehebat mana pada zaman ini tapi nilai sentimental tu mahal oo.
Lebih menarik lagi sebab ini merupakan model V8. Haa, barulah cukup syarat nak jadi kereta otot. Ketika dibeli dahulu kereta ini berharga USD21,244 termasuk aksesori pilihan yag bernilai USD8,011. Kosnya bertambah lagi sebanyak USD1,045 untuk enjin V8, USD866 untuk bumbung kaca boleh tanggal dan USD untuk transmisi automatik dengan mod overdrive.

Berdasarkan kiraan matawang sekarang harga yang dibayar pada tahun 1987 adalah bersamaan dengan USD58,895. Ye lah ini Camaro kot, Corolla.
Walaupun dah lama tersadai kereta ini boleh dihidupkan dengan cukup mudah. Dah tentu baterinya perlu diganti baharu.
Macam mana berminat tak? Dah la warna merah macam kereta watak utama MASK. Cuma yang ni tak boleh terbang je.




