Buletin

JALAN LICIN, TOYOTA VIOS LANGGAR PAGAR ISTANA BESAR

Gara-gara jalan licin selepas hujan, seorang lelaki yang memandu kereta Toyota Vios gagal mengawal kenderaan lalu melanggar pagar Istana Besar di Jalan Tun Dr. Ismail di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 3 petang itu, lelaki berusia 25 tahun bagaimanapun terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat ketika dihubungi berkata, kejadian itu berlaku kerana kereta dipandu lelaki terbabit terbabas akibat permukaan jalan licin berikutan berlaku hujan.

“Kereta itu terbabas sendiri tanpa membabitkan kenderaan lain. Pemandu tidak berada dalam keadaan mabuk dan ujian saringan awal air kencingnya juga negatif,” katanya ketika dihubungi.

Raub berkata, pemandu dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan diambil. Kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987. Terdahulu, tular di media sosial sebuah Toyota Vios dirakam terbabit kemalangan sehingga melanggar pagar istana. – KOSMO! ONLINE

Google ads
Back to top button