INILAH SATU-SATUNYA PORSCHE 911 EMPAT PINTU DI DUNIA INI – ATOK PANAMERA NI
Porsche 911 telah menyambut ulang tahun yang ke 60 tahun lepas dan pelbagai generasi dan varian telah diperkenalkan tapi tidak ada satu pun seunik kereta ini. Porsche 911 empat-pintu. Mana datang pintu lebih ni?
Ia dipamerkan do Petersen Automotive Museum dan merupakan satu-satunya Porsche 911S unik yang dimiliki oleh Wlliam Dick, seorang penjual kereta berjaya yang merupakan pengedar VW dan Porsche di Texas. Seorang peminat kereta eksotik sejati seperti Ferrari dan Maserati, Dick juga mahukan sebuah kereta sport yang praktikal untuk kegunaan keluarga.
Membawa bersama idea unik mereka, Dick dan Pengurus Besar beliau terbang ke Eropah untuk mencari mana-mana syarikat yang sanggup merealisasikan idea tersebut. Mereka akhirnya memilih Troutman dan Barnes yang sebenarnya berpengkalan di AS untuk menjayakan projek tersebut.
Bumbung 911 istimewa ini telah dibuka dan dipanjangkan sebanyak 21 inci manakala jarak tapak roda dipanjangkan kepada 108 inci. Ia adalah 11.5 inci lebih panjang berbanding 911 masa kini.
Menurut laporan dari Road & Track, pintu belakangnya diambil daripada 911 lain dan kemudiannya di pasang secara terbalik. Ia membuatkan pintu tersebut dibuka secara terbalik seperti sebuah Rolls-Royce.
Selepas 8 bulan kereta tersebut akhirnya berjaya disiapkan sepenuhnya pada bulan Ogos 1967. Dick mahukan tiga perkara tambahan pada 911 itu: rim Fuch baharu, transmisi Sportomatic dan cat luaran berwarna hijau.
911 unik itu kemudiannya dijadikan hadiah Krismas untuk isterinya, Hester. Kos yang dibelanjakan untuk modifikasi ini adalah USD20,000 bersamaan dengan USD184,000 masa sekarang. Maknanya kos 911 sedan ini adalah lebih tinggi dibandingkan dengan kos jika membeli Mercedes 300 SEL 6.3 dan BMW 2002 digabungkan.
Penumpang belakang juga mendapat tingkap kuasa, satu ciri mewah pada tahun 60an. Untuk memastikan ianya berfungsi dengan baik, Troutman dan Barnes terpaksa menggunakan motor yang sama mana bumbung suria Porsche.
Bukan calang-calang projek 911 sedan ni. Pemiliknya lebih dari mampu untuk membeli mana-mana kereta empat-pintu lain tapi kenapa beliau memilih untuk menghasilkan kereta ini?
Menurut sumber beliau sebenarnya berharap Porsche akan menghasilkan 911 empat-pintu standard dari kilang tapi tidak menerima respon dari Porsche. Hanya selepas 30 tahun kemudian baharunya kereta keluarga pertama keluar dari kilang Porsche dan kita semua mengenalinya dengan nama Cayenne.
Kemudian lahirlah Panamera pada tahun 2009 dan menerima sambutan hangat daripada peminat Porsche. Sayangnya ia tidak mempunyai pintu ala Rolls-Royce macam 911 sedan milik Dick ini.