" "
Artikel Pilihan

FERRARI PALING TUA DI JALAN RAYA DITEMUI – DAN IANYA BUKAN DI ITALI

Sebuah Ferrari tertua di jalan raya teah ditemui oleh kru Ferrari sendiri. Menariknya ia bukan ditemui di Italia atau California. Bukan juga di Monaco, Hong Kong, London, Bongek atau pun Mentakab. Ya, Ferrari 166 Inter keluaran tahun 1948 dengan nombor siri 007 S ini ditemui di New Zealand dan ianya dimiliki oleh pasangan warga emas sejak sekian lama.

Pemilik Ferrari vintaj ini ialah Amanda dan suaminya Philip dan mereka merupakan watak utama dalam video yang dihasilkan oleh Ferrari ini. Pasangan dan kereta vintaj mereka ditemui oleh wakil Ferrari sendiri sewaktu program jelajah New Zealand oleh Ferrari sewaktu memperkenalkan Purosangue Disember lepas. Ketika itulah mereka ditemukan dengan kereta sports lama pasangan ini.

Kalau nak dikira, sebuah lagi Ferrari 166 Inter dengan nombor siri 005 S adalah lebih lama tapi sebab ia telah diserahkan kepada muzium, 007 S secara automatik menjadi model yang paling lama dan masih berada di atas jalan.

Kebanyakan pemilik Ferrari memang mempunyai reputasi sebagai pemilik yang jarang memandu kenderaan mereka. Menjadi satu kebanggaan pula kalau berjaya mengekalkan perbatuan serendah mungkin. Amanda pula berfikiran sebaliknya.

Kereta mesti sentiasa dipandu dan ia adalah objek seni yang akan menjadi lebih menarik jika boleh dilihat di atas jalan raya jelas Amanda. Nampak tak? Inilah jawapan dari pemandu sebenar dan bukannya ejen MLM.

166 Inter ini ditemui Amanda dalam majalah jual beli kereta beberapa tahun lepas dan ia masih berada dalam keadaan baik. Ia tiba di dalam kotak kayu dan memerlukan sedikit restorasi dan sebaik proses baik pulih selesai, mereka terus memandunya ke acara-acara permotoran. Acara lain pun diorang join sekali. Ini kerana bagi Amanda kereta secantik ini perlu dikongsikan dengan dunia dan bukannya disorokkan dalam garaj tertutup.

Usia Amanda dan Ferrari kesayangan beliau ni boleh dikatakan hampir sebaya dan beliau turut memikirkan tentang siapa yang akan menjaga kereta ini bila beliau sudah tidak mampu menjaganya. Pemilik baharunya diharapkan mampu menjaga kereta ini sepertimana Amanda menjaganya dan sudah tentu individu tersebut tidak mudah ditemui. Ye lah, Aman Par pun jauh di Mentakab. Kalau dekat dan bagi percuma kira jadi terus.

Google ads
Back to top button