
TERBABAS DI BULATAN, PEMANDU GT-R MAUT
Seorang pemandu Nissan GT-R maut, manakala penumpangnya cedera selepas kenderaan dinaiki terbabas di bulatan Kampung Sungai Melayu, Iskandar Puteri, Johor pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, maklumat berkaitan kemalangan maut membabitkan kenderaan itu diterima Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPT) pada jam 4 pagi.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kereta dipandu lelaki tempatan berusia 41 tahun datang dari arah Puteri Harbour menuju ke Gelang Patah.
“Mangsa hilang kawalan lalu terbabas sendiri di bulatan Kampung Sungai Melayu dan mengalami kecederaan parah di kepala dan kaki. Mangsa maut di lokasi kejadian. “Penumpang lelaki tempatan berusia 36 tahun mengalami luka di bahagian siku,” katanya dalam kenyataan.
Kes disiasat mengikut Sesyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Sinar Harian







