CHEVY SUBURBAN 1947 KEROSAKAN BREK BERJAYA DIHENTIKAN DENGAN BANTUAN POLIS
Tentu sekali ramai di antara kita yang minat dengan kereta klasik. Faktor penuaan agaknya. Tapi kereta klasik ni biasanya datang dengan pakej masalah walau sebaik mana pun kita menjaganya. Barang lama kan? Biasa la sesekali meragam.
Itulah yang dihadapi oleh seorang wanita bila brek Chevrolet Suburban 1947 miliknya mengalami kegagalan sewaktu sedang dipandu. Nasib baik tidak berlaku kemalangan dan pihak polis sempat memberikan bantuan.
Kejadian berlaku pada 11 Jun lalu sewaktu Alexis Pritchard keluar untuk mengisi petrol dan menyedari breknya rosak. Beliau kemudian bertindak bijak dengan menghubungi talian kecemasan 911 untuk bantuan. Alexis memaklumkan yang beliau telah melanggar semua lampu isyarat merah akibat kerosakan brek.
Pegawai yang menerima panggilan mujurnya seorang yang tenang dan mengesahkan lokasi Alexis dan hala tuju beliau. Pegawai tersebut juga meminta Alexis merendahkan gear sebelum kenderaan beliau berjaya dikesan oleh pihak polis.
Menurut Alexis kereta beliau bergerak selaju 48 kmj dan beberapa cubaan untuk berhenti gagal walaupun dengan melanggar kon-kon trafik.
Pegawai polis yang tiba dilokasi Alexis bertindak dengan memposisikan kenderaan beliau di hadapan kereta Alexis dan memperlahankannya sehingga bersentuhan. Beliau kemudian mengenakan brek sehingga kedua-dua kenderaan berjaya dihentkan dengan selamat.
Walaupun nampak terkejut tapi Alexis berada dalam keadaan selamat. Ini merupakan contoh terbaik langkah-langkah yang perlu diambil jika berlaku kerosakan brek semasa memandu.
Walaupun Chevrolet Suburban milik Alexis mengalami kerosakan di bahagian depan tapi ia mungkin berakhir dengan lebih buruk jika bantuan gagal diberikan. Tahniah kepada pegawai yang menerima panggilan dan yang bertindak di lokasi. Tapi kalau brek lori rosak jangan guna cara ni. Bahaya ooo.
Alexis sendiri mengatakan yang kereta rosak boleh diperbaiki tapi nyawa mana ada ganti. Tahu pun.