
CYBERTRUCK HAMPIR TERJUN JAMBATAN KETIKA AUTOPILOT AKTIF. TESLA DISAMAN 1 JUTA USD
Satu lagi kes melibatkan sistem pemanduan automatik Tesla kini menjadi perhatian, apabila seorang pemilik Tesla Cybertruck di Texas memfailkan saman bernilai lebih $1 juta selepas mendakwa Cybertruck miliknya hampir terjun dari jejambat ketika menggunakan sistem Autopilot.
Kejadian tersebut berlaku pada Ogos 2025 di Lebuhraya Eastex 69 Houston, Texas. Menurut laporan saman, Justine Saint Amour sedang memandu bersama anak kecilnya ketika sistem Autopilot atau Full Self-Driving (FSD) diaktifkan. Ketika menghampiri satu persimpangan berbentuk Y di atas jejambat, sistem tersebut sepatutnya membelok ke kanan mengikut laluan jalan.
Namun apa yang berlaku adalah sebaliknya. Kenderaan itu didakwa gagal mengikut selekoh dan sebaliknya terus menuju ke arah penghadang konkrit. Jika tidak kerana hentaman kuat pada tiang lampu yang menghalang pergerakan, Cybertruck tersebut berpotensi terjatuh lebih 30 kaki ke lebuh raya sibuk di bawah.
Selepas insiden tersebut, Tesla CEO Elon Musk tampil mempertahankan syarikatnya dengan menyatakan bahawa data log kenderaan menunjukkan pemandu sebenarnya telah mematikan sistem Autopilot kira-kira empat saat sebelum kemalangan berlaku.

Namun, pihak peguam plaintif menegaskan bahawa tindakan itu diambil kerana pemandu menyedari kenderaan tersebut sedang menuju ke arah bahaya, dan ketika itu sudah terlambat untuk mengelak perlanggaran.
Walaupun bayi yang berada dalam kenderaan tidak mengalami kecederaan, pemandu dilaporkan mengalami kecederaan serius termasuk masalah cakera tulang belakang, kecederaan pada pergelangan tangan, serta kerosakan saraf. Disebabkan itu, beliau memfailkan saman terhadap Tesla atas dakwaan kecuaian melampau dan tanggungjawab produk.
Saman tersebut turut menyasarkan pendekatan teknologi Tesla yang hanya menggunakan kamera (vision-based system) berbanding pesaing seperti Waymo yang menggunakan teknologi LiDAR. Pihak plaintif mendakwa penggunaan kamera semata-mata, digabungkan dengan istilah pemasaran “Full Self-Driving”, boleh mengelirukan pengguna dan menjadikan sistem tersebut tidak cukup selamat untuk digunakan di jalan raya awam.
Kes ini berlaku ketika Tesla sedang berdepan tekanan daripada pihak berkuasa keselamatan jalan raya di Amerika Syarikat, termasuk siasatan terhadap keberkesanan dan keselamatan sistem pemanduan automatik mereka. Malah, dalam kes berasingan sebelum ini, mahkamah telah mengarahkan Tesla membayar pampasan sehingga $243 juta berkaitan kemalangan maut yang melibatkan sistem Autopilot.

