
PEUGEOT BUAT ENJIN BARU, HYBRID KEKAL RELEVAN
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, industri automotif global seolah-olah sudah mencapai satu kesimpulan yang yang enjin pembakaran dalaman, atau lebih dikenali sebagai internal combustion engine (ICE), sedang menuju ke penghujung hayatnya.
Dengan kebangkitan kenderaan elektrik (EV), tekanan regulasi emisi yang semakin ketat, serta pelaburan besar-besaran oleh pengeluar automotif ke arah elektrifikasi, ramai yang percaya bahawa enjin petrol hanyalah tinggal sisa teknologi lama yang menunggu masa untuk dilupuskan.
Namun di tengah-tengah naratif tersebut, Peugeot mengambil langkah yang agak berani dan boleh dikatakan sedikit melawan arus dengan membangunkan sebuah enjin petrol generasi baharu dari asas. Ini bukan sekadar kemas kini kecil atau facelift kepada enjin sedia ada, tetapi sebuah trenkuasa yang direka semula sepenuhnya untuk memenuhi keperluan dunia automotif moden.
Enjin baharu ini merupakan unit 1.2 liter tiga silinder turboc, satu konfigurasi yang mungkin kedengaran biasa dalam era moden, tetapi apa yang menarik adalah bagaimana Peugeot memperhalusi setiap aspek enjin ini untuk menjadikannya lebih efisien, lebih responsif dan yang paling penting, lebih tahan lasak.
Dengan output sekitar 99 brake horse power dan tork maksimum 205 Nm yang sudah tersedia seawal 1,750 rpm, enjin ini jelas direka dengan fokus kepada penggunaan harian terutamanya dalam persekitaran bandar yang memerlukan respons pantas tanpa perlu memerah enjin ke putaran tinggi seperti yang digunakan oleh enjin NA
Apa yang lebih mengagumkan adalah cara Peugeot menggabungkan teknologi canggih bagi meningkatkan kecekapan tanpa mengorbankan prestasi. Enjin ini menggunakan kitaran pembakaran Miller, satu pendekatan yang mengubah cara injap beroperasi bagi mengurangkan kehilangan tenaga semasa proses pembakaran.
Secara ringkas, ia membolehkan enjin mencapai tahap kecekapan bahan api yang lebih baik tanpa menjejaskan keupayaan menghasilkan kuasa. Tambahan pula, penggunaan turbo jenis variable geometry iaitu teknologi yang lazimnya dikaitkan dengan enjin diesel digunakan untuk membantu mengurangkan turbo lag dan memastikan penghantaran kuasa yang lebih linear, terutama pada rpm rendah.
Namun begitu, mungkin perubahan paling signifikan dalam enjin baharu ini bukanlah pada angka kuasa atau teknologi pembakaran, tetapi pada aspek kejuruteraan kebolehpercayaan jangka panjang. Enjin PureTech generasi sebelumnya pernah menerima kritikan meluas, terutamanya berkaitan penggunaan wet timing belt yang beroperasi dalam minyak enjin.
Walaupun konsep ini bertujuan mengurangkan geseran dan bunyi, realitinya ia membawa kepada isu kehausan pramatang dan pencemaran minyak enjin, sekali gus menjejaskan ketahanan keseluruhan sistem.
Peugeot jelas mengambil iktibar daripada pengalaman tersebut. Dalam enjin baharu ini, sistem wet belt telah digugurkan sepenuhnya dan digantikan dengan timing chain yang lebih konvensional tetapi terbukti lebih tahan lama.
Keputusan ini mungkin kelihatan seperti langkah ke belakang dari sudut inovasi, namun dari perspektif pengguna, ia adalah satu peningkatan besar yang mengurangkan risiko kerosakan serta kos penyelenggaraan dalam jangka masa panjang.
Malah sela servis juga dipanjangkan kepada sekitar dua tahun atau 25,000 kilometer, satu angka yang mencerminkan keyakinan pengeluar terhadap ketahanan enjin ini. Enjin ini bukan dibangunkan untuk berfungsi secara bersendirian dalam jangka panjang. Sebaliknya, ia direka sebagai asas kepada rangkaian kuasa hibrid generasi baharu. Dalam erti kata lain ini adalah komponen utama dalam ekosistem elektrifikasi Peugeot yang lebih luas.
Platform enjin ini akan digunakan dalam pelbagai konfigurasi hibrid, termasuk mild hybrid, full hybrid dan juga plug-in hybrid. Ini menunjukkan bahawa walaupun enjin petrol masih memainkan peranan penting, fungsinya kini telah berubah. Ia bukan lagi sumber kuasa tunggal, tetapi sebahagian daripada sistem yang lebih kompleks, bekerja bersama motor elektrik untuk mencapai keseimbangan antara prestasi, kecekapan dan emisi yang lebih rendah.
Fenomena ini mencerminkan realiti semasa industri automotif global. Walaupun EV semakin popular, terdapat pelbagai kekangan yang menghalang peralihan sepenuhnya dalam masa terdekat. Kos pembelian yang masih tinggi, infrastruktur pengecasan yang belum menyeluruh, serta kebimbangan pengguna terhadap jarak perjalanan menjadikan kenderaan hibrid sebagai pilihan yang lebih praktikal untuk kebanyakan pengguna.

