Artikel PilihanPandu Uji

BRIDGESTONE POTENZA ADRENALIN RE005: TAYAR SPORTY UNTUK HARIAN DAN TREK

Jika anda seorang peminat pemanduan yang menghargai gabungan antara prestasi tinggi dan keselesaan, maka Bridgestone Potenza Adrenalin RE005 adalah salah satu tayar yang patut dipertimbangkan dalam pilihan.

Tayar ini dibangunkan di bawah slogan “Licence to Thrill”, direka untuk memberikan pengalaman pemanduan yang mendebarkan tanpa mengorbankan keselesaan harian. Ia bukan sekadar tayar sport biasa yang lasak di selekoh, tetapi juga mampu memberi keyakinan maksimum dalam pelbagai keadaan jalan, sama ada kering atau basah, menjadikannya sesuai untuk pelbagai jenis kereta dari hatchback kompak, sedan prestasi tinggi, sports car ringan, hingga kereta elektrik (EV) sporty.

Salah satu ciri yang paling menonjol pada Potenza Adrenalin RE005 adalah rekabentuk bunga yar yang canggih. Tayar ini menampilkan A-Shaped Groove dan wide inner rib yang berfungsi untuk mengekalkan kawalan penuh semasa memasuki dan keluar dari selekoh, sekaligus meningkatkan kestabilan stereng.

Blok-blok penyambung atau connecting blocks, bersama dengan Multi-Round Blocks (MRB), membantu pengagihan tekanan pada tapak tayar secara lebih sekata, mengurangkan kehausan sebelah tayar dan memastikan respon stereng tetap konsisten.

Bridgestone mendakwa prestasi cengkaman dalam keadaan kering meningkat kira-kira 8% berbanding model sebelumnya RE004, manakala cengkaman basah pula meningkat sekitar 10%, menjadikan ia lebih yakin di jalan raya dalam cuaca hujan.

Selain daripada prestasi dry grip yang cemerlang, Potenza Adrenalin RE005 juga menonjol dalam pengendalian basah. Salur rain pulse groove direka khas untuk membolehkan air dialirkan dengan pantas dari bawah tapak tayar, sekaligus mengurangkan risiko hydroplaning.

Kompaun atau rumusan tayar baru dengan teknologi NanoPro-Tech™ yang menggabungkan silika dan polimer moden, bukan sahaja meningkatkan cengkaman tetapi juga mengekalkan prestasi tayar dalam pelbagai keadaan jalan.

Majoriti saiz tayar RE005 yang diuji memperoleh wet grip grading A menurut JATMA (Japan Automobile Tyre Manufacturers Association), satu pencapaian yang tidak mudah dicapai oleh semua tayar sport. Ini memberi keyakinan kepada pemandu bahawa mereka boleh memandu dengan selamat dan penuh kawalan walaupun dalam hujan lebat atau jalan basah.

Ketahanan dan kecekapan juga merupakan aspek penting yang diberi perhatian oleh Bridgestone. Dengan teknologi ENLITEN™, rolling resistance (pekali geseran golek) tayar ini dikurangkan, yang secara langsung membantu menjimatkan bahan api untuk kereta petrol dan diesel, serta meningkatkan jarak pemanduan untuk EV.

Struktur tayar yang direka dengan teliti turut membantu memanjangkan jangka hayat tayar, menjadikan Potenza Adrenalin RE005 bukan sahaja tayar prestasi tinggi tetapi juga pilihan yang praktikal untuk penggunaan jangka panjang.

Dari segi keselesaan, Potenza Adrenalin RE005 menunjukkan peningkatan berbanding model sebelumnya. Pandu uji awal menunjukkan bahawa tayar ini lebih lembut dan kurang bising, membolehkan pemandu menikmati pengalaman pemanduan yang sporty tanpa perlu menanggung getaran atau bunyi bising yang berlebihan.

Ini menjadikannya sesuai bukan sahaja untuk pemanduan agresif di hujung minggu tetapi juga untuk kegunaan harian di bandar atau lebuh raya.

Satu lagi kelebihan RE005 adalah fleksibiliti saiz yang ditawarkan yang ditawarkan untuk pasaran Thailand. Dengan julat saiz dari 15 inci hingga 20 inci, tayar ini ditawarkan sehingga 50 saiz tayar, termasuk sedan prestasi tinggi, hatchback kompak, sports car ringan, dan EV.

Fleksibiliti ini memberi ruang untuk pemandu mengubahsuai atau menaik taraf rim kereta tanpa perlu risau tentang kesesuaian tayar, sekaligus menambah nilai estetika dan prestasi keseluruhan kereta.

Dari segi pasaran, Potenza Adrenalin RE005 telah dilancarkan di Thailand dan Asia-Pasifik pada awal 2026, dengan jangkaan memasuki pasaran Malaysia pada suku kedua 2026 yang mungkin akan ditawarkan dengan saiz yang berlainan dari pasaran Thailand

Secara keseluruhan, Bridgestone Potenza Adrenalin RE005 adalah tayar yang memenuhi keperluan pemandu moden yang mahukan gabungan antara prestasi sporty dan keselesaan harian. Ia sesuai untuk pelbagai jenis kereta dan direka untuk memberi pengalaman pemanduan yang menyeronokkan tetapi tetap selamat.

Dengan rekabentuk bunga tayar yang canggih, teknologi material terkini, prestasi permukaan kering dan permukaan basayang meningkat, serta keselesaan dan ketahanan yang lebih baik, RE005 merupakan pilihan tayar premium yang lengkap.

Bagi mereka yang ingin menaik taraf tayar mereka tanpa kompromi pada keselamatan dan keselesaan, Potenza Adrenalin RE005 memberikan jawapan yang tepat. Atau seperti slogan Bridgestone, ia benar-benar adalah “Licence to Thrill”.

Google ads
Back to top button