DAIHATSU MATERIA – HANYA BERTAHAN SATU GENERASI SAHAJA. TAPI MASIH NAMPAK OK LAGI KAN?
Suatu ketika dahulu, pengeluar kenderaan dari Jepun, Daihatsu yang cukup sinonim dengan kereta kompak turut pernah mengeluarkan sebuah model yang boleh dianggap unik dan lain daripada yang lain. Tak lain dan tak bukan, ianya adalah Daihatsu Materia, sebuah mini MPV.
Model mini MPV ini mula dipertontonkan kepada umum ketika Tokyo Motor Show 2005 dan mula dihantar ke merata dunia untuk dieksport keluar daripada negara asalnya Jepun. Di Amerika Syarikat, ianya mula tiba pada tahun 2007 manakala pasaran United Kingdom pula hanya tiba pada tahun 2008.
Kalau diikutkan dari segi rekaan yang berkotak dan bersegi seumpama mesin basuh ini, pastinya mudah untuk kita mengaitkan Daihatsu Materia ini dengan saudara kandungnya di Daihatsu Move. Cuma yang ini mempunyai dimensi yang lebih besar dan juga kapasiti enjin diantara 1.3 liter hingga 1.5 liter yang menggunakan enjin K3-VE dan juga 3SZ-VE.
Dengan reka bentuk sebegini, ianya cukup mudah untuk dipandu baik lelaki mahu pun wanita, ditambah dengan faktor visualiti yang lebih jelas dan juga kedudukan kerusi pemandu yang sedikit tinggi berbanding kereta sedan.
Dari segi ciri keselamatan, ianya boleh dikira cukup canggih ketika itu apabila turut dilengkapi dengan stereng kuasa, ABS & EBD, beg udara untuk penumpang & sisi, kerusi pemandu boleh laras, dan juga pemain radio / CD yang dilengkapi dengan enam pembesar suara.
Di bahagian kabin, dengan ketinggian yang dimiliki membuatkan ianya serasa cukup luas dan lapang. Malah kerusinya juga boleh direbah rata bagi membolehkan sebarang muatan bersaiz besar dimuat masuk tanpa masalah.
Malah, kerusi belakang juga boleh dilipat dengan pembahagian 60:40 untuk membolehkan sebarang formasi tempat duduk diubah suai mengikut kehendak. Senang cerita serupa Kenari jugalah. Cuma lebih besar dan luas.
Juga terdapat ruang penyimpanan tambahan yang disorok pada bahagian bawah belakang untuk menyimpan alatan tanpa perlu berselerak.
Oh ya, untuk yang mungkin sudah tahu, baru nak tahu, atau pun memang tidak tahu, penghasilan model Daihatsu Materia ini sebenarnya turut disusuli dengan kembar rapatnya, Toyota bB dan juga Subaru Dex. Untuk rekod, Toyota bB ini ditakrifkan sebagai generasi kedua sementelah generasi pertama dibina sendiri Toyota berdasarkan pelantar daripada model Vitz sedangkan generasi kedua ini dibangunkan bersama diantara Toyota dan juga Daihatsu.
Secara asasnya, model ini ditamatkan produksinya pada tahun 2016 dengan ketiadaan pengganti untuk generasi berikutnya. Di tempat kita pun dahulu boleh jumpa lagi model ini, tapi sekarang ini kalau jumpa atas jalan kira ajaib sangat dah ni. Makin pupus. Maklumlah, sekarang ini di Jepun rekaan bentuk mesin basuh ini semakin menggila. Masih nampak cantik lagi kan?