Buletin

APA JADI DENGAN LITAR LUMBA ANTARABANGSA RM85 JUTA DI SUNGAI PETANI?

Malaysia sudah pun memasuki tahun 2024 dan sehingga kini masih belum ada sebarang perkembangan mengenai Litar Lumba Sungai Petani. 

Nama Litar Lumba Sungai Petani yang pada satu ketika pernah disebut bakal dibangunkan sebagai litar berstatus antarabangsa kembali bangkit selepas siapnya Litar Horizon Beranang yang akan dibuka tidak lama lagi. 

*sumber: Kosmo

Setakat laporan terkini pada November 2023 yang diterbitkan Kosmo, litar seluas 40 hektar itu telah pun ditumbuhi semak samun selain dijadikan sebagai tapak pembuangan sampah haram.

Mengikut kronologi, projek litar lumba yang terletak di Ambangan Heights, Bandar Aman Jaya itu pada asalnya diumumkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika hadir ke Alor Setar pada 2013. 

Setahun kemudian, bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengumumkan Majlis Mesyuarat Negeri Kedah setuju bangunkan kawasan seluas 20 hektar di Sungai Petani sebagai Litar Lumba Rakyat yang akan turut memanfaatkan peminat sukan motocross. 

Kemudian pada Ogos 2022, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memberitahu bahawa projek Litar Lumba Rakyat itu akan dinaik taraf kepada litar antarabangsa dan akan dibangunkan di tanah milik Menteri Besar Kedah Incorporated (MBI).

*Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi ketika Majlis Pelancaran dan Menandatangani Perjanjian Projek Litar Lumba PKB Open Road SP Circuit Sungai Petani.

Ketika itu, Datuk Seri Muhammad Sanusi memaklumkan bahawa syarikat Permodalan Kedah Berhad (PKB) dan Open Road sebagai pelabur bersetuju mengambil alih projek berkenaan dengan pelaburan RM85 juta. 

Lebih menarik, Sanusi juga mendedahkan bahawa Kedah akan mempunyai dua litar lumba iaitu di Langkawi dan Sungai Petani dengan kedua-duanya akan dibina dan diurus pihak PKB Open Road. 

Pihak PKB Open Road juga memaklumkan ketika itu bahawa reka bentuk litar akan dilakukan pakar perunding litar lumba dari United Kingdom yang bertanggungjawab mereka bentuk litar lumba Formula 1 di Miami, Amerika Syarikat. 

*Litar GP Miami, Amerika Syarikat

Tidak cukup dengan itu, Pengasas dan Penasihat Kumpulan Open Road World, Datuk David Goh turut memberitahu media bahawa pihaknya sedang memohon kelulusan FIA Gred 2 dan FIM Gred B agar pertandingan antarabangsa dapat dianjurkan. 

Berdasarkan perkembangan diatas, pastinya kedengaran seperti Litar Lumba Antarabangsa Sungai Petani itu sedang giat dibangunkan atau sekurang-kurangnya memasuki peringkat akhir. 

Namun, setakat hujung 2023, projek litar antarabangsa sepanjang 1.8 kilometer tu masih terbengkalai. 

Kemudian, ketika berucap di persidangan dewan undangan negeri (DUN) Kedah pada Disember 2023, Sanusi memberitahu bahawa kerajaan negeri akan berusaha menyiapkan projek tersebut bermula dengan menyiapkan terlebih dahulu litar drag dan ‘grand stand’. 

Apa pun, kami mengharapkan akan terbitnya berita positif mengenai litar berkenaan. Jika projek litar berstatus antarabangsa tidak dapat dilaksanakan atas kekangan kewangan, mungkin ada baiknya kembali ke pelan asal dalam membangunkan Litar Lumba Rakyat. 

*sumber: Kosmo, Berita Harian, Sinar Harian

Google ads
"
"
Back to top button