Artikel PilihanBuletin

DAIHATSU SIRION SPESIFIKASI UK – MACAM BIASA LIHAT KAN?

Perodua Myvi boleh diibaratkan sebagai nadi utama Perodua sebelum keluarnya Axia dan Bezza. Model itu berjaya menidakkan penguasaan Proton sebagai jenama nombor satu negara selama bertahun-tahun lamanya dengan jumlah produksi yang kini sudah melebihi sejuta unit.

Myvi juga adalah proksi utama eksport Perodua. Ia telah pergi jauh ke pelbagai negara dunia dan menariknya ada yang tidak menggunakan lencana Perodua pun.

Di Indonesia, Perodua Myvi dikenali sebagai Daihatsu Sirion dan ia telah dieksport ke sana sejak 2007 lagi. Eksport di sini bermaksud, Sirion dipasang di kilang Perodua di Rawang dan dijual ke Indonesia.

Daihatsu Sirion 1.0+

Jika diikutkan, ini bukanlah eksport pertama Perodua kerana sebelum itu, Kancil juga pernah dipasarkan ke Indonesia dengan nama Daihatsu Ceria. Perodua Rusa pun ada tetapi dah lupa apa nama di Indonesia.

Menariknya, kedua-dua Sirion dan Ceria tidak menggunakan reka bentuk asal Daihatsu dari Jepun tetapi dengan gayaan asal Perodua.

Jika dah sama dengan Perodua kenapa tidak pasarkan sahaja nama Perodua di sana? Entah, tapi yang pasti jenama Daihatsu sudah lama wujud dan kukuh di Indonesia.

Daihatsu Sirion 1.5 SX

Ini pula kisah Daihatsu Sirion di United Kingdom. Jika dilihat dari gambar, model 1.0 nampak sangat persamaan dengan Perodua Myvi kan?

Menariknya, dalam tempoh yang sama Perodua turut menjual Myvi di sana. Bukan setakat Myvi, Proton pun jual Savvy di UK pada masa itu.

Daihatsu Sirion UK dipasarkan dalam beberapa varian enjin di antaranya ialah 1.0 tiga silinder DVVT dengan gred SE+. Gred ini kiranya paling mahal untuk enjin 1.0 dan menariknya dilengkapi oleh cermin suria elektrik Webasto.

Model SE+ juga lengkap dengan empat beg udara, ABS dengan EBD dan talaan suspensi belakang yang telah diubah supaya lebih sedap dipandu.

Selain daripada model 1.0, Sirion juga turut dipasarkan dengan enjin 1.3 liter dan 1.5 liter.

Model 1.5 ini dikenali sebagai Daihatsu Sirion SX dan ia diasaskan dari model spefisifikasi tertinggi Sirion 1.3 SE. Selain enjin yang lebih besar, Sirion SX dilengkapi kit badan penuh dengan kemasan berwarna merah pada interior.

Enjin yang digunakan Sirion SX sama seperti Daihatsu Materia dan Terios pasaran UK (ada masa, cerita semula yang ini)

Satu perkara menarik tentang Sirion SX ialah selain mempunyai empat beg udara, sistem ABS dengan EBD, model ini buat pertama kali dilengkapi Kawalan Penstabilan Kenderaan atau VSC sebagai peralatan standard.

Ini bermakna, Sirion mempunyai teknologi keselamatan canggih sejak tahun 2007 lagi apabila varian ini dilancarkan di UK. Untuk rekod, Sirion dilancarkan di UK pada tahun 2005.

Dengan pakej yang ditawarkan seperti ruang yang selesa, gayaan, nilai dan kelengkapan tidak hairanlah Sirion pernah menjadi model terlaris Daihatsu di UK!

Tetapi sekarang ini, Daihatsu telah menjadi sejarah di UK apabila sejak Januari 2013 telah menamatkan operasinya di sana. Yang tinggal hanyalah operasi servis dan alat ganti khusus untuk pemilik yang memerlukannya.

Berbalik kepada Perodua Myvi, model yang ada sekarang ini pun sudah lama di pasaran dan jika diikutkan…. Ada Myvi baharu?

Sama-sama kita nantikan.

BACA: BUKAN ACAH-ACAH POWER, MYVI+K3VET MEMANG POWER!

BACA: PERODUA MYVI RACY

Gambar Daihatsu Sirion 1.0+

Gambar Daihatsu Sirion 1.5 SX

Google ads
Back to top button