Buletin

SELAMAT MENYAMBUT HARIJADI KE 25 MCLAREN F1 – SUPERCAR SUPERSTAR

Ahad lepas merupakan ulangtahun ke 25 lagenda supercar McLaren F1. Mungkin generasi sekarang tidak akan menyangka yang supercar ini sudahpun mencecah usia suku abad kerana rupanya yang tidak lapuk ditelan zaman. Ia merupakan hasil rekaan kejuruteraan moden F1 dengan prestasi kelajuan yang melampaui zaman pada masa ia dicipta.

Bekas bos McLaren, Ron Dennis pernah menyatakan yang F1 (McLaren F1) merupakan pencapaian teknologi tertinggi permotoran yang digabungkan dalam satu pakej. Sama ada di litar ataupun di jalan raya, ia memang laju (gila), lincah (gila) tetapi pada masa yang sama memberi cukup keselesaan kepada pemandu dan penumpang. Malah rekaan luarannya juga akan kekal segar dan evergreen.

Sepanjang tempoh enam tahun pengeluaran, termasuklah model perlumbaan, hanya 106 buah sahaja McLaren F1 dihasilkan. Bilangannya yang sedikit bermakna nilainya akan melambung saban tahun. Beberapa tahun dahulu, selebriti permotoran Jay Leno pernah memberitahu yang seseorang pernah menawarkan USD11 juta untuk McLaren beliau tetapi ditolak dengan sopan oleh Leno.

Pada 2015, McLaren F1 milik bintang komedi terkenal Rowan Atkinson (ingat Mr Bean ada Mini klasik je ke?) berjaya dijual dengan harga USD12 juta walaupun pernah dua kali mengalami kemalangan dan direstorasi kembali pada keadaan asal. Pada tahun yang sama juga sebuah F1 dengan spesifikasi LM terjual dengan harga USD13.5 juta pada satu lelongan di Monterey, California.

Antara keunikan McLaren F1 ialah kedudukan pemandu di bahagian tengah. Malah ia juga mempunyai tiga tempat duduk. Ia bukan dihasilkan secara suka-suka tetapi untuk mengelakkan kedudukan pedal kawalan berada pada kedudukan tidak sesuai berbanding supercar lain. Juga tidak timbul isu pemanduan sebelah kiri ataupun kanan selain kelebihan agihan berat yang lebih mantap.

Kelajuan tertingi bukannya satu isu sewaktu penciptaannya mengikut perekanya, Prof. Gordon Murray. Beliau hanya fokus untuk menghasilkan kereta terbaik dari sudut kejuruteraan dan hasilnya lahirlah kereta paling laju di atas muka bumi tetapi pada masa yang sama sah digunakan di atas jalan raya.

Berbanding dengan Veyron ataupun Chiron yang dihasilkan oleh syarikat gergasi ternama, F1 lahir daripada syarikat kejuruteraan perlumbaan sebenar. Walaupun rekod kelajuannya telah dipecahkan oleh Bugatti Veyron dalam tahun 2005, harus diingat yang Veyron mempunyai empat pengecas turbo dan McLaren menggunakan enjin NA. Untuk rekod, McLaren masih kekal sebagai kereta enjin NA terlaju di dunia. Selamat harijadi McLaren F1.

Google ads
Back to top button