,
Buletin

DAPAT GANJARAN UNTUK CABUT TAYAR PADA LEHER BUAYA. ADA BERANI?

Pihak berkuasa Indonesia kini menganjurkan satu pertandingan dan akan memberi ganjaran kepada sesiapa yang berani mengeluarkan tayar yang tersangkut di leher seekor buaya liar di wilayah Palu. 

Pertandingan tersebut dianjurkan selepas satu klip video yang memaparkan seekor buaya sepanjang hampir empat meter itu seperti sukar bernafas kerana tayar motosikal terlekat pada bahagian lehernya. 

Ketua Agensi Pemuliharaan Sumber Alam Sulawesi Tengah (BKSDA), Hasmuni Hasmar memberitahu pihaknya gagal mencari jalan untuk membantu buaya malang tersebut, walaupun ia sudah berlaku sejak beberapa tahun lalu. 

BKSDA bimbang tayar itu akan membunuh buaya berkenaan secara perlahan-lahan. “Kami akan memberi ganjaran kepada sesiapa sahaja yang berjaya mengeluarkan tayar itu,” kata Hasmuni. 

Baru-baru ini, lokasi reptilia tersebut berjaya dikesan dan menyebabkan gabenor wilayah berkenaan mengarahkan agensi pemuliharaan sumber supaya mencari jalan menyelesaikan masalah buaya itu. Malangnya, beberapa usaha yang dibuat sejak beberapa tahun lalu menemui jalan buntu. 

Justeru, pihak berkuasa terpaksa meminta pertolongan daripada orang awam. 

Bagi mengelakkan sebarang kejadian buruk berlaku, Hasmuni menegaskan bahawa pihaknya hanya akan membenarkan pakar penyelamat haiwan untuk melakukan operasi menyelamat, bukannya golongan amatur. 

“Kami mohon orang ramai tidak datang terlalu dekat dengan buaya itu dan mengganggu habitatnya,” katanya lagi. 

Sehingga kini, jumlah gankaran masih tidak didedahkan. – Astro Awani

Google ads
Back to top button