Buletin

GOCAR TAWAR KREDIT MOBILITI SEHINGGA RM200 KEPADA BEKAS PENGGUNA SOCAR

GoCar Mobility (GoCar) memperkenalkan tawaran kredit mobiliti sehingga RM200 kepada pengguna SOCAR yang layak susulan keputusan penyedia perkhidmatan perkongsian kereta itu untuk menamatkan operasinya di Malaysia pada 31 Ogos 2026.

Inisiatif tersebut bertujuan membantu pengguna SOCAR beralih kepada alternatif mobiliti lain tanpa gangguan, khususnya bagi mereka yang masih memerlukan akses kepada kenderaan untuk urusan harian, pekerjaan, perjalanan keluarga atau kegunaan sekali-sekala.

Kredit promosi berkenaan boleh digunakan untuk tempahan menerusi perkhidmatan GoCar Share. Pengguna dibenarkan menebus sehingga RM20 bagi setiap tempahan, membolehkan keseluruhan kredit RM200 dimanfaatkan menerusi beberapa penggunaan berasingan.

Ketua Pegawai Eksekutif GoCar Mobility, Wong Hoe Mun berkata, syarikat itu memahami keperluan pengguna yang bergantung kepada perkhidmatan perkongsian kereta sebagai sebahagian daripada gaya hidup mereka.

Menurutnya, tawaran tersebut bukan sahaja membantu memudahkan peralihan pengguna SOCAR, malah memberi peluang kepada mereka untuk mencuba ekosistem mobiliti yang ditawarkan GoCar.

“Ramai pengguna masih memerlukan akses kepada kenderaan tanpa perlu memiliki kereta sendiri. Kami berharap tawaran ini dapat membantu mereka mencari penyelesaian yang sesuai dengan keperluan mobiliti masing-masing,” katanya.

Pada masa ini, perkhidmatan perkongsian kereta GoCar beroperasi di beberapa kawasan utama termasuk Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor Bahru. Syarikat itu turut melayani lebih 40,000 pengguna setiap tahun dengan pilihan kenderaan yang merangkumi kereta kompak, sedan, SUV, MPV dan juga model elektrik.

Melalui aplikasi mudah alih GoCar, pelanggan boleh mencari kenderaan yang tersedia, membuat tempahan dan mengambil kereta di lokasi yang ditetapkan dengan proses begitu mudah dan pantas.

Selain perkhidmatan perkongsian kereta, GoCar turut menawarkan platform GoCar P2P yang membolehkan pemilik kenderaan menyewakan kereta mereka kepada pengguna lain.

Model perkongsian rakan-ke-rakan itu memberi peluang kepada pemilik menjana pendapatan tambahan, selain memperluaskan pilihan kenderaan dan lokasi untuk pelanggan.

Wong berkata, walaupun industri perkongsian kereta sedang melalui perubahan berikutan penutupan operasi SOCAR, konsep mobiliti berasaskan akses masih relevan dalam pasaran tempatan.

Beliau turut mengiktiraf peranan SOCAR dalam membangunkan kesedaran terhadap perkhidmatan perkongsian kereta di Malaysia sepanjang lapan tahun lalu.

“Tidak semua orang memerlukan kereta setiap hari. Bagi sesetengah pengguna, akses kepada kenderaan apabila diperlukan adalah pilihan yang lebih praktikal berbanding pemilikan jangka panjang,” katanya.

Pengguna SOCAR yang ingin menikmati tawaran tersebut perlu mendaftar antara 19 Ogos hingga 30 September 2026 serta mengemukakan tangkap layar dompet SOCAR mereka untuk tujuan pengesahan menerusi e-mel kepada marketing@gocar.my.

Promosi ini sah untuk tempahan yang dibuat sehingga 31 Disember 2026 dan tertakluk kepada terma serta syarat yang ditetapkan oleh GoCar.

Google ads
Back to top button