Buletin

BYD ATTO 3 2026 KINI DENGAN WARNA BAHARU ‘GEMILANG BLUE’ – PROMOSI MERDEKA HARGA DARI RM124K

BYD Sime Motors Malaysia memperkenalkan warna baharu Gemilang Blue untuk BYD ATTO 3 2026 sempena sambutan Hari Kebangsaan, sekali gus menambah pilihan menarik kepada peminat kenderaan elektrik (EV) yang mahukan gaya lebih menyerlah di jalan raya.

Warna eksklusif yang diinspirasikan daripada semangat Merdeka itu hadir bersama tawaran Harga Istimewa Merdeka sebanyak RM124,800 berbanding harga runcit disyorkan (RRP) RM138,800 untuk tempoh promosi terhad.

BYD ATTO 3 2026 ditawarkan dalam dua varian iaitu Ultra dan Premium, dengan kedua-duanya menerima pelbagai penambahbaikan dari aspek prestasi, teknologi, keselesaan serta rekaan.

Varian Ultra masih mengekalkan sistem pacuan roda hadapan (FWD) yang digerakkan oleh motor elektrik berkuasa 150kW dan tork 310Nm. Kuasa itu disalurkan menerusi bateri Blade LFP berkapasiti 60.48kWh yang membolehkan SUV elektrik tersebut mencapai jarak pemanduan sehingga 480 kilometer mengikut standard NEDC.

Model itu mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 7.3 saat dan menyokong pengecasan pantas DC sehingga 110kW.

Bagi mereka yang mahukan prestasi lebih mengujakan, varian Premium hadir dengan konfigurasi pacuan roda belakang (RWD). Motor elektriknya menghasilkan 230kW dan 380Nm, membolehkan pecutan 0 hingga 100 km/j dicapai dalam hanya 5.5 saat.

Varian Premium turut menggunakan bateri Blade LFP lebih besar berkapasiti 74.88kWh yang menawarkan jarak pemanduan sehingga 600 kilometer (NEDC). Ia juga menyokong pengecasan DC ultra pantas sehingga 220kW serta pengecasan AC 11kW untuk kemudahan penggunaan harian.

Dari segi penampilan, BYD ATTO 3 2026 menerima sentuhan segar yang menjadikannya lebih moden dan premium. Varian Premium dilengkapi rekaan rim baharu manakala kedua-dua varian menggunakan rim aloi 18-inci. Kemasan lower side trim turut direka semula bagi memberikan imej yang lebih kemas dan dinamik.

Di bahagian belakang pula, SUV ini tampil dengan lampu belakang baharu yang menampilkan grafik pencahayaan lebih moden, spoiler belakang yang dikemas kini serta bampar baharu yang menyumbang kepada karakter lebih sporty.

Ruang kabin turut dipertingkatkan dengan pelbagai ciri baharu. Antaranya termasuk paparan instrumen digital bersaiz 8.8-inci, skrin infotainmen berputar 15.6-inci, ambient light, column shifter serta pengecas telefon pintar tanpa wayar 50W yang dilengkapi sistem penyejukan.

Keselesaan penumpang turut menjadi keutamaan apabila kedua-dua varian kini dilengkapi kerusi hadapan berventilasi sebagai ciri standard. Tempat duduk pemandu menerima pelarasan kuasa enam hala, manakala varian Premium ditambah dengan sokongan lumbar empat hala.

Bagi penumpang hadapan, varian Ultra dilengkapi pelarasan kuasa empat hala sementara Premium menerima pelarasan kuasa enam hala. Kabin turut menampilkan pemegang cermin mata serta rekaan tempat duduk baharu dengan perehat kepala berasingan yang memberikan suasana lebih moden dan selesa.

Salah satu ciri teknologi menarik yang diperkenalkan ialah fungsi NFC Phone Key. Melalui sistem ini, pengguna boleh membuka dan menghidupkan kenderaan menggunakan telefon pintar tanpa perlu membawa kunci fizikal.

Menurut BYD, fungsi tersebut masih boleh digunakan walaupun bateri telefon pintar kehabisan kuasa, sekali gus menawarkan kemudahan tambahan dalam situasi kecemasan.

Dari aspek pengendalian, varian Ultra menggunakan kombinasi suspensi hadapan MacPherson dan suspensi belakang Multi-Link.

Sementara, varian Premium menerima sistem yang lebih canggih menerusi gabungan MacPherson dengan Dual-ball Joint serta suspensi belakang Multi-Link lima pautan bagi meningkatkan kestabilan dan keselesaan pemanduan.

Kepraktisan juga dipertingkatkan dengan ruang kargo yang luas. Varian Ultra menawarkan kapasiti 434 liter dan boleh diperbesarkan sehingga 1,340 liter apabila tempat duduk belakang dilipat.

Premium pula menyediakan ruang kargo antara 490 liter hingga 1,360 liter serta tambahan ruang simpanan hadapan atau frunk berkapasiti 101 liter.

Dari segi keselamatan, varian Ultra dilengkapi enam beg udara bersama pakej sistem bantuan pemandu termaju (ADAS) standard. Varian Premium menerima tujuh beg udara serta pakej Enhanced ADAS yang menawarkan tahap perlindungan dan bantuan pemanduan lebih menyeluruh.

Google ads
Back to top button