
KIA HIDUPKAN KEMBALI NIRO GEN 1 SEBAGAI TEKSI
Generasi kedua Kia Niro telah pun muncul di beberapa pasaran utama dunia yang boleh didapati dalam beberapa piliihan trenkuasa, termasuk versi EV.
Namun, Kia tetap tidak melupakan generasi pertama Niro, di mana pengeluar itu baharu sahaja memperlihatkan model kenderaan binaan khas (purpose built vehicle) dalam bentuk Niro Plus.

Di pasaran Korea, Niro Plus turut didatangkan dalam versi elektrik (EV) yang bakal digunakan oleh operator perkhidmatan teksi tempatan.
Tidak seperti Niro generasi pertama, Niro Plus memiliki jarak antara roda 10 mm yang lebih panjang, bertujuan untuk menjadikan ruang kabin yang lebih luas.
Selain itu, ketinggian juga turut ditambah sebanyak 80 mm, penggunaan tempat duduk dan panel pintu yang lebih nipis, serta sistem skrin tunggal All-in-One Display yang mengintegrasikan segala macam fungsi termasuklah navigasi, meter teksi, serta perkhidmatan mencari lokasi pengecasan berhampiran.

Kia Niro Plus juga bakal ditawarkan dalam versi hibrid, plug-in hybrid dan EV yang akan ditawarkan kepada para pemilik perniagaan, serta peminat aktiviti luar di hujung minggu.
Kia merancang untuk menjadi peneraju di dalam segmen kenderaan binaan khas (PBV) menjelang tahun 2030, di mana model PBV pertama akan dilancarkan pada tahun 2025 menggunakan paltform papan selaju eS.
Antara model PBV yang sedang dirancang termasuklah kenderaan saiz pertengahan untuk perkhidmatan penghantaran dan seru-pandu, model penghantaran berasaskan robot, teksi robot, serta PBV besar untuk perkhidmatan ulang-alik dan kargo.