Buletin

DI SINGAPURA, KOS HAK UNTUK BELI KERETA CECAH RM312K. ITU BELUM BELI LAGI

Kos untuk mendapatkan hak membeli sebuah kereta di Singapura mencatat angka tertinggi untuk bidaan kali keempat berturut-turut. 

Berdasarkan kepada data daripada Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat Singapura (LTA), bidaan bagi kategori terbuka sijil kelayakan (COE) yang boleh digunakan untuk apa jua jenis kenderaan naik sehingga S$99,999 (RM312,249) pada April. Kos itu tidak termasuk membeli sebuah kereta lagi. 

Premium untuk kereta besar dan berkuasa dalam Kategori B juga mencatat tahap kedua tertinggi dengan S$98,389 (RM307,246). Sementara kos hak untuk membeli kereta 1,600cc dan kuasa kuda tidak melebihi 130hp naik kepada S$72,996 (RM227,829).

Baru-baru ini, kerajaan Singapura mengumumkan bahawa ia akan mengklasifikasikan semula kereta elektrik di bawah 110kW ke dalam Kategori A untuk menjadikan EV lebih mampu milik. 

Pemilik kereta sedia ada perlu memperbaharui COE sebelum ia tamat tempoh dan sekurang-kurangnya enam peratus pembeli kereta di Singapura memiliki lebih daripada satu kereta tahun lalu. Lebih satu pertiga kereta yang baru didaftarkan pada separuh kedua 2021 ialah kenderaan mewah (22 peratus sama ada BMW atau Mercedes-Benz). 

Kos pengangkutan persendirian naik 17.2 peratus pada Februari lalu berbanding tahun sebelumnya, sekali gus membuatkan inflasi keseluruhan naik ke tahap tertinggi sejak Februari 2013. Pendaftaran kereta baharu di Singapura mencatat angka terendah dalam 20 bulan pada Februari 2022. – Bloomberg 

Google ads
Back to top button