Buletin

DIDAKWA PENGOTOR, BALI ENGGAN TERIMA PELANCONG BACKPACKERS

Pulau peranginan popular Indonesia, Bali dilapor enggan menerima pelancong beg galas atau ‘backpackers’ ke lokasi pelancongan itu sekiranya dibuka dalam masa terdekat, lapor portal Coconuts, baru-baru ini.

Menteri Penyelaras Maritim dan Pelaburan, Luhut Pandjaitan berkata pihaknya hanya akan menerima pelancong yang tahu menjaga kebersihan pulau tersebut.

“Kami sudah melakukan persediaan rapi bagi menerima pelancong meskipun Bali masih berada di Tahap Empat Perintah Perbatasan Kegiatan Masyarakat (PPKM) dan belum menerima tarikh pembukaan semula.

“Mungkin Bali akan dibuka apabila PPKM dilonggarkan ke Tahap Dua,” kata Luhut. Bagaimanapun, Luhut memberitahu proses penerimaan pelancong ke Bali akan ditapis dengan teliti sebaik sahaja ia dibuka.

“Kami akan menapis pelancong yang ingin memasuki Bali agar tergolong dalam kategori berkualiti. Pelancong ‘backpackers’ tidak diundang kerana kami mahu pastikan persekitaran Bali sentiasa bersih dan terjaga,” ujarnya.

Kenyataan itu tular di media sosial dan menimbulkan kemarahan netizen yang beranggapan ia akan menjejaskan kemasukan pelancong asing terutama dari Barat yang gemar mengembara secara ‘backpackers’.

Kementerian Penyelaras Hal Ehwal Maritim dan Pelaburan kemudian mengeluarkan kenyataan susulan yang menjelaskan maksud sebenar Luhut adalah larangan itu bagi pengunjung yang melanggar protokol kesihatan dan undang-undang imigresen. – Agensi, foto: Bali Times

Google ads
Back to top button