Buletin

BALI BAKAL PERKENALKAN UNDANG-UNDANG BAHARU – PELANCONG DILARANG TUNGGANG MOTOSIKAL

Gara-gara ramai pelancong asing menyewa motosikal tanpa lesen sah atau menggunakan nombor pendaftaran palsu, pihak berkuasa Bali bakal memperkenalkan undang-undang baharu yang lebih tegas.

Lebih 171 warga asing melanggar peraturan lalu lintas di Bali antara akhir Februari dan awal Mac, termasuk pelancong memandu tanpa lesen sah atau menggunakan plat lesen palsu.

Gabenor Bali mengumumkan rancangannya untuk menghalang pelancong asing daripada menunggang motosikal, sebaliknya menggunakan kereta disediakan oleh ejen pelancongan tempatan.

“Pelancong mesti berkelakuan seperti pelancong dan menggunakan kenderaan yang disediakan oleh ejen pelancongan,” kata Gabenor Bali, I Wayan Koster.

“Pelancong tidak boleh memandu sendiri atau memandu motosikal tanpa memakai baju atau topi keledar. Lebih-lebih lagi, mereka tidak mempunyai lesen memandu yang sah.”

Di bawah cadangan baharu, larangan akan berkuat-kuasa lewat tahun ini, walaupun tarikh rasmi masih belum disahkan. Ia juga perlu dijelaskan bagaimana undang-undang itu akan dikuatkuasakan.

Perancangan baharu itu bagaimanapun mendapat kritikan penduduk serta pelancong asing kerana selama beberapa dekad, pelancong menyumbang kira-kira 60 peratus daripada KDNK pulau berkenaan.

Pengkritik menyatakan bahawa larangan penggunaan motosikal oleh warga asing merosakkan lagi pertumbuhan ekonomi di Bali.

Pengerusi Persartuan Penyewaan Motosikal Bali, Dedek Warjana berkata, “Pihak berkuasa perlu memberi tumpuan kepada penguatkuasaan pelanggaran lalu lintas individu dan bukannya mengenakan larangan menyeluruh.”

Google ads
Back to top button