Buletin

DUIT BERTABURAN ATAS JALAN, ORANG RAMAI TOLONG KUTIP DAN PULANGKAN SEMULA KEPADA TUANNYA

Berpuluh-puluh pemandu kereta dan penumpang mereka berhenti  untuk membantu seorang wanita mengumpul wang tunai berjumlah 100,000 baht (RM12,498) yang bertaburan di atas  jalan di Khon Kaen, wilayah Isaan, Thailand, lapor laman berita Thaiger.

Wang itu ditinggalkan di tepi jalan oleh seorang pekerja wanita tersebut tanpa sengaja.

Berdasarkan rakaman video yang dikongsi oleh  pengguna Twitter bernama Sutasinee Buachaban, sebilangan pemandu kereta meletakkan kenderaan di bahu jalan untuk mengutip wang tunai bernominasi 1,000 baht (RM124.98) di atas jalan.

“Terima kasih kepada semua mereka yang berhati mulia. Saya telah menghubungi polis dan mereka telah memulangkan wang kepada pemiliknya,” demikian menurut kenyataan Sutasinee.

Menurut wanita berkenaan, seorang pemandu lori secara tidak sengaja meletakkan wang tersebut pada tangga pintu kenderaannya.

Dia kemudian terlupa mengenai wang itu dan terus memandu sehingga menyebabkan wang tersebut berterbangan di atas jalan raya.

Majikan pemandu tersebut, Supornthip Pakdee kemudian mendedahkan bahawa dia mengeluarkan wang berjumlah 100,000 baht (RM12,498) dari sebuah bank dan memberikan  kepada pekerjanya untuk membeli sejumlah sayur akar ubi kayu.

Menurut Supornthip, dia mendapat semula sebilangan besar wang miliknya selepas orang ramai berjaya mengutip sebanyak 92,000 baht (RM11,498) di atas jalan.

Bagaimanapun, wang berjumlah 8,000 baht (RM999.84) lagi dilaporkan hilang. Tambah wanita berkenaan,  dia tidak menyalahkan pekerjanya, namun berasa kesal dengan kejadian itu. – Agensi

Google ads
Back to top button