BuletinMotosikal

EICMA 2019: SUZUKI V-STROM 1050 DENGAN GAYA RETRO DR BIG!

Susulan kejayaan memperkenalkan lagenda Suzuki Katana pada tahun lalu, Suzuki pada pameran motosikal EICMA tahun ini menampilkan wajah baru untuk motosikal adventur mereka – V-Strom.

Muncul dengan gaya dan perubahan drastik berbanding dua generasi sebelum ini, Suzuki memperbaharui varian 1,000cc V-strom dengan sedikit sentuhan gaya retro motosikal ikonik 90-an mereka, Dr. Big.

Dikenali dengan V-Strom 1050, ia masih mengekalkan penggunaan enjin V-twin dengan sesaran enjin yang sama – 1037cc, perubahan yang telah dilakukan sejak 2013 pada model V-strom.

Meskipun dengan kapasiti enjin yang sama, Suzuki telah menala semula enjin dengan penambahan kuasa sebanyak 6hp, menjadikannya kini 106hp berbanding 100hp untuk versi sebelumnya.

Ia hasil dari talaan semula pendikit elektronik, omboh jenis tekanan tinggi dan profil aci sesondol yang telah direka semula.

Hasilnya, model terbaru ini juga telah melepasi piawaian emisi Euro 5 yang akan dilaksanakan pada tahun depan.

TIGA VARIAN UTAMA

V-Strom 1050 didatangkan dengan tiga varian utama. Pertama ialah 1050XA, varian asas dengan rim aloi dan tanpa elektronik dengan sensor lean-sensitive.

Varian kedua ialah XT yang datang dengan rim jejari, IMU lima paksi untuk ABS di selekoh dan kawalan traksi.

Ciri tambahan lain ialah sistem hill-hold dan rear wheel lift control dan juga brek kombinasi depan belakang. Ciri yang lazim pada motosikal premium di mana brek belakang juga diaplikasikan meskipun hanya anda menarik tuil brek hadapan.

Model XT juga dilengkapi dengan cruise control, tongkat tengah, outlet kuasa 12V serta outlet USB sebagai peralatan standard pada semua model.

Dari kedua varian yang diperkenalkan, varian ketiga adalah yang paling menarik. Dikenali dengan varian 1050XT Adventure, ia dilengkapi dengan aksesori panier aluminium 37 liter yang boleh ditanggalkan dengan mudah. 1050XT Adventure juga didatangkan dengan pemanas grip pada semua tahap.

Kesemua varian V-Strom 1050 didatangkan dengan lampu utama LED dan visor hadapan. Bagi model XT, penghadang angin hadapan boleh dilaras dengan 11 kedudukan berbeza.

Bagi varian XA, penghadang angin hadapan juga masih boleh dilaras, namun hanya pada tiga posisi dan ia perlu dilakukan dengan menggunakan perkakasan khusus.

Di bahagian dashboard, V-Strom m1050 didatangkan dengan paparan integrasi LCD yang menampilkan kesemua maklumat yang diperlukan. Ia terdiri daripada posisi gear, penggunaan bahanapi, jarak perjalanan, kawalan traksi dan sebagainya.

Tiada harga diumumkan namun, Suzuki memberitahu, model ini akan masuk ke pasaran Eropah pada tahun hadapan.

Pasaran Malaysia?

Kami menjangkakan, paling awal ialah sekitar suku pertama tahun 2021.

Google ads
Back to top button