Buletin

ELAK ANJING DAN MOTOSIKAL, MYVI ‘TERBANG’ REMPUH KEDAI RUNCIT

Seorang penumpang cedera, manakala pemandu selamat apabila kereta Myvi dinaiki mereka ‘terbang’ lalu merempuh masuk ke kaki lima sebuah kedai runcit di Kilometer 1, Jalan Segamat- Muar.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Ahmad Zamry Marinsah berkata, siasatan awal di lokasi mendapati kejadian berpunca daripada tindakan pemandu yang ingin mengelak anjing dan sebuah motosikal berhampiran lokasi kejadian.

“Kejadian berlaku pada pukul 6.15 petang apabila pemandu Myvi tersebut, seorang lelaki berusia 25 tahun terpaksa mengelak anjing dan motosikal.

“Ia mengakibatkan kenderaan itu terus naik ke atas kaki lima kedai runcit berkenaan. Myvi berkenaan mengalami kerosakan teruk pada bahagian hadapan dan lampunya turut pecah.

“Pemandu terselamat, manakala teman wanitanya yang berumur 22 tahun yang berada di tempat duduk penumpang hadapan mengalami cedera pada bahagian leher dan kini dirawat di Hospital Segamat,” katanya di sini, hari ini.

Ahmad Zamry memberitahu, Myvi terbabit datang dari arah Jementah menghala ke rumah mereka di bandar ini dan ketika kejadian cuaca hujan.

Kes disiasat di bawah Peraturan 10, Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Peraturan 10 LN 166/59). – UTUSAN

Google ads
Back to top button