
EMBLEM ORI BMW MOTORSPORT BUAT KEMUNCULAN – SEMPENA ULANG TAHUN KE-50
BMW Motorsport GmbH ditubuhkan pada tahun 1972 dan mula ‘bertempur’ di litar-litar lumba pada tahun 1973.
Sedar ataupun tidak, sudah 50 tahun rupanya usia penglibatan BMW Motorsport di dalam sukan permotoran, di mana pada ketika itu logo BMW menampilkan penggunaan warna biru yang melambangkan BMW, merah untuk perlumbaan dan warna violet pula untuk menggambarkan hubungan antara kedua-dua konsep tersebut.

Untuk meraikan pencapaian tersebut, BMW bakal menawarkan opsyen untuk pemasangan emblem retro asli bagi pelanggan-pelanggan yang membeli model-model M, atau kenderaan yang dilengkapi pakej M Sport.
Emblem retro tersebut menampilkan skema warna asal yang terdapat pada logo terdahulu, iaitu biru, merah dan juga violet.

BMW akan mula mengambil tempahan bagi kenderaan dengan opsyen emblem retro itu bermula Januari 2022, sementara produksi pula hanya akan bermula pada Mac 2022.
Harga jualan untuk opsyen pemasangan logo retro ini masih belum didedahkan oleh BMW.