Buletin

ENJIN SKYACTIV GEN KE-2 – 30% LEBIH JIMAT, TIADA PALAM PENCUCUH

Mazda Motor dijangka memperkenalkan enjin baharu menjelang akhir tahun 2018 yang menawarkan 30 peratus lebih penjimatan.

Memetik laporan eksklusif Asia Nikkei, penjimatan itu dapat diperolehi kerana ia menggunakan tekanan dan bukannya palam  pencucuh untuk membakar bahan api.

Enjin itu akan membakar campuran bahan api dan udara menerusi tekanan. Sekali gus membuatkan proses pembakaran lebih efisien berbanding enjin konvesional yang menggunakan palam pencucuh. Method itu juga dapat mengurangkan emisi ekzos. Dengan enjin ini, model seperti Mazda3 dianggarkan mampu mencatat jarak 30km bagi setiap liter petrol.

BACA: MAZDA3 2017 DILANCARKAN

Ketika pengeluar lain menghasilkan kenderaan elektrik, Mazda berpendapat enjin pembakaran dalaman akan terus mewakili jumlah besar jualan kereta baharu pada masa depan.

Mazda merancang untuk menggunakan enjin itu pada Mazda3 (Axela) baharu, sebelum diaplikasikan kepada model-model lain. Ia memposisikan enjin itu sebagai generasi kedua SKYACTIV yang mula diperkenalkan pada tahun 2011.

Mazda juga dikatakan bakal mengeluarkan kenderaan elektrik pada tahun 2019 dan merancang mempunyai model hibrid menjelang tahun 2021. Ia mensasarkan pasaran Amerika Syarikat dan Eropah, sebelum diperluaskan ke pasaran global termasuklah negara-negara membangun.

Google ads
Back to top button