
MAZDA CX80 – KESILAPAN KITA ADALAH MENGATAKAN INI IALAH SUV MEWAH….
Tahun lepas penulis pernah memandu uji Mazda CX-80, dan walaupun SUV ini menawarkan peningkatan yang luar biasa tapi DNA Mazda seolah olah hilang. Atau lebih tepat mungkin tenggelam dalam usaha untuk menghasilkan sebuab SUV mewah dan menjimatkan petrol.
Namun rakan penulis pula memberi pendapat yang berbeza lantas memaksa penulis mencuba sekali lagi CX80 bagi pulang berhari raya di kampung
Selepas beberapa hari memandu CX80 untuk perjalanan balik kampung tahun ini, ada beberapa perkara yang saya rasa terlepas pandang sebelum ini. Kadang kala sesi pandu uji 2 3 hari tidak mencukupi bagi penulis untuk memahami karakter sebenar sesebuah kereta.
Selepas melalui lebuh raya, jalan kampung, trafik bandar dan pelbagai situasi pemanduan, CX-80 mula menunjukkan identiti sebenar yang menjadikannya berbeza daripada SUV tujuh tempat duduk lain dalam pasaran.
Perkara pertama yang menarik perhatian adalah reka bentuk luarannya. Dengan ukuran 4,995 mm panjang, 1,890 mm lebar dan jarak roda mencecah 3,120 mm, CX-80 memang sebuah SUV yang besar. Namun Mazda berjaya membuatkan ia kelihatan elegan dan bukannya terlalu besar seperti sesetengah SUV keluarga lain.

Untuk rekaan di bahagian hadapan, CX-80 tidak menggunakan rekaan lampu tajam dan agresif seperti CX-5 atau CX-30 yang menghasilkan imej garang. Sebaliknya, lampu utamanya berbentuk lebih bulat dan klasik, memberikan aura premium serta keyakinan. Ada sedikit sentuhan nostalgia yang mengingatkan kepada model ikonik Mazda seperti Miata NA dan RX-7 FD.
Jeriji hadapan turut dilengkapi sistem Active Shutter Grille yang membantu meningkatkan kecekapan aerodinamik dan penggunaan bahan api. Profil sisinya pula jelas menunjukkan falsafah Mazda yang mengetengahkan rekaan hud panjang ke depan ala ala kereta sport klasik
Bonet depan yang panjang memberi gambaran ia seolah-olah sebuah grand tourer mewah berbanding SUV biasa. Warna Melting Copper Gold yang ditawarkan juga sangat sesuai dengan karakter premium CX-80. Untuk rekaan di bahagian belakang, rekaannya lebih ringkas tetapi kemas tetapi sayang rekaan ekzos berkembar telah hilang
Ruang kargo pula agak praktikal dengan kapasiti antara 258 liter dan boleh dibesarkan menjadi sehingga 687 liter bergantung kepada konfigurasi tempat duduk yang digunakan. Apa yang menjadikan CX-80 menarik sebenarnya terletak pada tulang belakang ataupun platform SkyActiv Multi-Solution Scalable Architecture yang turut menjadi asas kepada CX-60 dan CX-90.

Platform ini menggunakan susun atur pacuan belakang sebagai asas binaan sebelum digabungkan dengan sistem pacuan semua roda (AWD). Mazda juga memberi perhatian serius terhadap keseimbangan casis dengan menawarkan agihan berat pada nisbah 53:47 antara depan dan belakang, sesuatu yang jarang diberi perhatian dalam SUV keluarga.
Suspensi hadapan menggunakan sistem double wishbone manakala bahagian belakang menggunakan multi-link. Hasilnya ialah sebuah SUV yang terasa lebih hidup dan seimbang ketika dipandu berbanding kebanyakan pesaingnya. Sebagai model plug-in hybrid (PHEV), CX-80 menggunakan bateri berkapasiti 17.8 kWh yang mampu memberikan jarak pemanduan elektrik sehingga 65 km mengikut kitaran NEDC.
Dengan pengecas onboard 7.2 kW, bateri boleh dicas penuh dalam masa kira-kira dua jam sahaja. Mazda turut menyediakan butang khas untuk membolehkan pemandu mengecaj bateri dengan menggunakan enjin sahaja ketika bergerak.
Di bawah bonet pula Mazda mempertaruhkan gabungan enjin 2.5 liter e-Skyactiv G empat silinder dan motor elektrik yang ditanam dalam kotak gear. Enjin petrol menghasilkan 191 PS dan 261 Nm, manakala motor elektrik menyumbang 172 PS dan 270 Nm dengan jumlah kuasa gabungan sistem mencapai 328 PS dan 500 Nm.
Apa yang lebih menarik ialah sistem transmisi lapan kelajuannya yang tidak menggunakan automatik konvensional yang menggunakan torque converter, Mazda menggantikannya dengan gabungan motor elektrik dan sistem klac. Hasilnya ialah penghantaran kuasa yang lebih menyentap dan responsif.

Mazda juga melakukan susunan mekanikal yang agak unik dengan steering rack dan radiator diletakkan di hadapan enjin manakala bateri dan komponen brek turut disusun dengan teliti untuk membantu pengagihan berat yang lebih baik. Semua ini mungkin tidak kelihatan kepada pengguna biasa, tetapi ia memberi kesan besar terhadap pengalaman pemanduan.
Sebaik sahaja anda memasuki kabin CX-80, ia memberikan suasana yang sangat tenang dan premium. Mazda nampaknya semakin hampir kepada jenama mewah Eropah dari segi kemasan dan kualiti binaan.Stereng dua tona hitam dan krim yang digunakan mengingatkan penulis kepada rekaan Bentley.
Bahagian papan pemuka pula menggunakan gabungan suede, kulit berkualiti tinggi, jahitan kontras, kemasan aluminium serta sentuhan kayu yang memberikan suasana eksklusif tanpa kelihatan berlebihan. Pemandu turut mendapat paddle shifter, paparan head-up display bersaiz 13 inci, pengecas telefon tanpa wayar, Apple Car Play tanpa wayar, kamera resolusi tinggi yang sangat jelas serta dua paparan bersaiz 12.3 inci yang mengendalikan kluster instrumen dan sistem infotainmen.
Bahagian tengah kabin juga direka dengan baik dengan menawarkan kawalan pendingin hawa mudah dicapai, tempat duduk hadapan mempunyai fungsi pengudaraan, ruang simpanan besar, port USB yang mencukupi dan pencahayaan kabin yang menyenangkan untuk perjalanan jauh.

Barisan ketiga pula mudah diakses dengan menawarkan 2 tempat duduk untuk penumpang bersaiz kecil dan sederhana. Turut disediakan ventilasi pendingin hawa, port USB dan pemegang cawan untuk meningkatkan keselesaan perjalanan.
Namun kekuatan sebenar CX-80 muncul apabila ia mula bergerak. Satu perkara yang menarik ialah posisi pemanduan yang agak rendah membuatkan anda boleh melihat bonet panjang di hadapan. Perasaan ini lebih mengingatkan kepada sebuah kereta sport berbanding SUV keluarga.
Anehnya, ia memberikan sedikit pengalaman seperti memandu Mazda MX-5 Miata dalam bentuk yang jauh lebih besar. Prestasinya juga tidak mengecewakan dengan pecutan 0 hingga 100 km/j mengambil masa sekitar 7.2 saat manakala kelajuan maksimum mencecah 195 km/j.
Dari segi penggunaan bahan api, penulis mencatat sekitar 15.7 km/l ketika bateri masih mempunyai tenaga dan kira-kira 11.5 km/l apabila bateri hampir habis amanakala dalam ujian kedua penulis berjaya mendapatkan angka 14.8km/l dengan enjin sentiasa digunakan untuk mengecaj bateri.

Sistem stereng pula menawarkan karekterisktik menarik, ia ringan dan lembut ketika digunakan secara santai, tetapi masih memberikan maklum balas yang cukup untuk pemanduan agresif. Casisnya mempunyai aliran pergerakan yang natural ketika memasuki selekoh dan terasa natural apabila input stering diberikan. Apatah lagi pengendalian CX80 dibantu oleh sistem G-Vectoring Control yang sememangnya menjadi kepakaran Mazda sejak sekian lama.
Suspensinya ditala agak lembut apabila dipandu secara santai di lebuh raya, CX-80 terasa sangat stabil dan premium. Tetapi apabila melalui kawasan taman perumahan yang berbonggol, ia terasa sedikit keras seperti tidak kena pula
Namun apabila dipandu dengan lebih agresif, karakter sebenar CX80 mula terserlah. Apabila pedal minyak ditekan lebih dalam, SUV ini berubah personaliti dengan bunyi enjin empat silindernya mula menjerit dengan garang persis sebuah Miata ND dengan enjin 2.0
Enjin 2500cc ini bagaikan meminta-minta anda untuk memerahnya dengan deruman yang mengasyikkan. Walaupun tanpa turbo, enjin ini cukup responsif dengan bantuan kuasa motor elektrik yang menjadikan proses mendaki atau memotong kereta perlahan di hadapan sangat mudah

Formula agihan berat 53:47 pula membantu mengekalkan kestabilan ketika mengambil selekoh laju, dan badan kereta kekal terkawal walaupun kelajuannya meningkat. Malah, penulis berani mengatakan CX-80 sebenarnya lebih menyeronokkan apabila dipandu laju berbanding dipandu perlahan.
Pada ketika itu, soal penggunaan bahan api sudah menjadi perkara kedua berbanding dengan nilai keseronokan yang ditawarkan. Prestasi membreknya juga sangat meyakinkan melalui ujian membrek dari 100 km/j ke sifar, CX-80 mencatat jarak sekitar 40.67 meter, angka yang cukup baik untuk sebuah SUV besar dan berat seperti ini.
Walau bagaimanapun, CX-80 bukanlah sempurna. Ada masanya badan kereta terasa sedikit berayun ketika melalui jalan tidak rata atau selekoh panjang. Kemungkinan besar ia berpunca daripada gabungan tayar 20 inci, talaan damper yang lembut, berat tambahan sistem PHEV dan jarak pergerakan suspensi yang panjang.
Selain itu, transmisi unik tanpa torque converter tadi kadangkala menghasilkan sedikit sentakan apabila sistem sedang menentukan sama ada enjin petrol atau motor elektrik yang perlu mengambil alih tugas menggerakkan kenderaan terutama ketika merayap dalam kesesakan jalan raya.

Walaupun bukan masalah besar tetapi fenomena ini cukup untuk disedari oleh pemandu yang peka. Dari sudut keselamatan pula, CX-80 hadir dengan pakej i-ActivSense yang sangat lengkap. Ia merangkumi lampu Adaptive Matrix LED, Rear Cross Traffic Alert dengan fungsi membrek automatik, serta sistem kamera 540 darjah yang sangat membantu ketika memarkir SUV sebesar ini.
Mazda CX80 adalah SUV yang pelik, dimana jika anda mengharapkan ia berfungsi sebagai sebuah SUV keluarga yang selesa maka harapan anda akan punah. Sebaliknya ia bagaikan atlet sukan yang dipaksa untuk memakai sut, jaket dan kasut kulit hitam
Tetapi jika ditekan dengan betul, CX80 akan menunjukkan karekternya yang sebenar, iaitu bagaikan sebuah kereta sport 6 tempat duduk yang secara kebetulan direka sebagai sebuah SUV mewah










