Buletin

EV KURANG TAHAN LASAK BERBANDING KERETA ICE – KAJIAN 

Kereta elektrik (EV) sering dianggap sebagai lebih tahan lasak dan boleh dipercayai berbanding kenderaan dengan enjin petrol atau diesel. Ini kerana ia mempunyai jumlah komponen bergerak yang lebih sedikit dan tidak perlu membawa bahan api. 

Namun, satu kaji selidik yang dilakukan oleh kumpulan pengguna UK Which menunjukkan sebaliknya. Dapatan kaji selidik berkenaan menyatakan bahawa pemlik kereta enjin pembakaran dalaman (ICE) melaporkan kurang masalah dalam tempoh empat tahaun pertama pemilikan mereka.

Which? telah membuat kaji selidik melibatkan 48,000 responden yang merangkumi 2,184 pemilik EV dan bakinya pengguna kereta ICE. Sebanyak 39 peratus pemilik EV melaporkan satu masalah dalam tempoh empat tahun, berbanding hanya 19 peratus oleh pemilik kereta petrol dan 29 peratus pemilik kenderaan diesel. 

EV dikatakan bukan sahaja kurang tahan lasak, malah pembaikan masalah biasanya mengambil masa lebih lama. Masalah paling kerap dihadapi ialah berkaitan perisian yang memakan masa sehingga lima hari untuk dibaiki. Berbeza dengan kereta ICE yang boleh dibaiki dalam masa tiga atau empat hari sahaja. 

Jenama EV yang paling kurang tahan lasak ialah Tesla dengan 39 peratus pemilik merekodkan sekurang-kurangnya satu kerosakan dalam tempoh empat tahun. Lima peratus masalah itu termasuklah rosak di tepi jalan dan gagal untuk dihidupkan. 

Berbanding EV Kia e-Niro, hanya enam peratus pemilik melaporkan kerosakan dengan cuma satu peratus rosak di tepi jalan atau kereta gagal dihidupkan. 

“Kami tahu pengguna ingin beralih kepada kenderaan yang lebih mesra alam, tetapi mereka perlulah menerima produk berkualiti. Melihat EV secara khusus, kajian kami menunjukkan bahawa harga yang mahal tidak semestinya lebih tahan lasak atau boleh dipercayai. 

“Jadi, kami menggalakkan pengguna supaya membuat penyelidikan lebih awal sebelum mencari EV atau jenama yang mereka boleh percayai,” kata Editor Produk dan Perkhidmatan Which?, Lisa Barber. 

Pastinya, EV masih dianggap sebagai produk baharu dalam dunia automotif. Namun, ramai yang ingin melihat teknologi ini lebih matang pada masa depan. 

Google ads
Back to top button