Buletin

EV MURAH CHINA BERI ANCAMAN BESAR KEPADA PENGELUAR KENDERAAN JEPUN – BOS DAIHATSU

Presiden Daihatsu Motor, Soichiro Okudaira mengakui bahawa kereta elektrik murah dari China memberi ancaman besar kepada pengeluar kenderaan Jepun. 

Keadaan itu dikatakan berlaku kerana pengeluar Jepun dilihat agak perlahan dalam peralihan kepada EV. ‘Kelalaian’ itu membuatkan syarikat dari China mempunyai kelebihan untuk menawarkan EV yang mampu milik ke pasaran. Justeru, Okudaira memberitahu pihaknya komited untuk melakukan yang terbaik untuk bersaing dengan model EV murah keluaran China. 

“Konsep reka bentuk kereta China bukanlah sekadar penambahan daripada apa yang pernah ditawarkan sebelum ini. Sebagai contoh, bateri dan motor disejukkan oleh udara dan bukannya air. 

“Sistem ini mungkin ada kelemahan kerana kurang sesuai untuk dipandu pada kelajuan tinggi. Tetapi kos dapat dikurangkan dengan mengehadkan sistem operasi. Daihatsu akan kembali kepada asas pemotoran dan memikirkan konsep-konsep baru untuk menghasilkan EV yang mampu milik. Kami perlu bersaing dari segi harga,” kata Okudaira. 

Daihatsu dijangka memperkenalkan EV pertamanya pada 2025 dengan harga anggaran 1 juta yen (RM35,700), jauh lebih mahal berbanding sejumlah mini EV dari China. Walaupun lebih mahal, Okudaira yakin permintaan terhadap kei-kar EV yang menawarkan ruang kabin luas akan tetap tinggi. 

Okudaira memberitahu Daihatsu kini sedang menimbang untuk mengelektrifikasikan model Mira e:S dan mungkin akan melancarkan versi EV trak komersial Hijet pada harga yang sama seperti varian petrol. 

Pengeluar kereta kompak itu sedang bekerjasama dengan beberapa pengeluar lain untuk mengelektrifikasikan rangkaian modelnya. Mereka akan melakukan apa sahaja untuk mengawal kos bateri. 

“Daihatsu sedang meneroka pelbagai pilihan, termasuklah membeli bateri buatan China. Langkah itu akan melibatkan pelaburan berbilion-bilion yen untuk menawarkan kenderaan EV baharu menjelang tahun 2030. Jadi, kami bekerjasama dengan syarikat induk, Toyota Motor. 

“Kami juga bekerjasama dengan Suzuki Motor untuk membangunkan model EV, serta mengambil bahagian dalam kolaborasi di antara Toyota dan Isuzu bagi menghasilkan teknologi berkaitan,” katanya lagi.  

Google ads
Back to top button