Buletin

VAN JENAZAH MILIK MASJID PUN KENA REMBAT

Sebuah van jenazah yang diparkir di tempat letak kenderaan masjid di Beseri, Perlis dilaporkan telah dicuri  semalam sebelum ditemui berhampiran Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (ICQs) Padang Besar.

Sumber polis berkata, van jenazah berkenaan ditemui ditinggalkan di tempat letak kenderaan di kompleks ICQs berkenaan lewat malam semalam.

“Kejadian dipercayai sekitar 10 pagi apabila seorang pembantu masjid al-Ghafor, Padang Lati, Beseri, Padang Besar ternampak van jenazah masjid tempatnya bertugas berada di atas jalan raya di Simpang Alor Tampang, Beseri. Menyangkakan terdapat kes kematian yang berlaku di kariah itu sehingga memerlukan khidmat van jenazah berkenaan, mangsa tidak mengesyaki apa-apa yang berlaku.

“Malah, pembantu masjid itu berpendapat pemandunya mungkin sudah mendapat kebenaran daripada pihak masjid kerana van jenazah itu lazimnya ditinggalkan dalam keadaan tidak berkunci serta kunci van itu juga sentiasa ditinggalkan di dalam van,” katanya.

Pada 12.45 tengah hari pembantu masjid datang ke masjid untuk solat Zohor. Ketika itu, dia mendapati van jenazah berkenaan masih tiada di parkir masjid. Perkembangan itu menyebabkan dia berhubung dengan kakitangan masjid itu untuk bertanyakan perihal keberadaan van berkenaan.

Namun, dia terkejut apabila kakitangan masjid memaklumkan kepadanya bahawa pihaknya tidak mengetahui individu yang membawa keluar van jenazah berkenaan. Pembantu masjid bersama orang kampung kemudian keluar mencari van berkenaan di sekitar kawasan Beseri.

Van jenazah itu bagaimanapun gagal ditemui dan disyaki sudah dicuri oleh orang yang tidak dikenali. Satu laporan polis kemudian dibuat di Balai Polis Beseri pada 5.25 petang.

Ketua Polis Daerah Padang Besar Superintendan Saifudin Aslin Abbas ketika dihubungi memaklumkan bahawa van jenazah berkenaan sudah pun ditemui ditinggalkan di parkir Kompleks ICQs Padang Besar oleh pasukan polis peronda yang melakukan rondaan di kawasan itu.

“Kita sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup masjid itu untuk mengetahui suspek yang melarikan van berkenaan. Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan,” katanya. – Harian Metro 

Google ads
Back to top button