Buletin

INI HARGA CITY HATCHBACK e:HEV, RM107,783 SEUNIT. OK TAK?  

Honda Malaysia hari ini mengumumkan harga untuk varian Honda City Hatchback RS e:HEV ialah RM107,783 seunit. 

Ini merupakan kali pertama City ditawarkan dalam bentuk hatchback kepada pengguna di Malaysia. Lebih menarik lagi, varian itu hadir bersama teknologi hibrid termaju Honda, e:HEV. Sejak dilancarkan pada Disember 2021, Honda Malaysia telah menerima leboh 5,200 tempahan model berkenaan. 

Sebagai varian paling tinggi, ia didatangkan dengan aksesori RS seperti gril hadapan, perumah cermin sisi dan bampar belakang berwarna hitam. 

City Hatchback RS e:HEV juga dilengkapi lampu utama, lampu nyalaan siang (DRL) dan lampu belakang LED. Penampilannya diserlahkan lagi dengan rim aloi dua tona bersaiz 16 inci. 

Hatchback berkenaan dikuasakan oleh rangkaian kuasa 1.5L Sports intelligent Multi-Mode Drive (i-MMD) yang dipadankan bersama kotak gear Electric Continuous Variable Transmission (e-CVT). Ia mampu menjana kuasa sehingga 109PS dan tork 253Nm yang setara dengan kuasa enjin bersesaran 2.4 liter. 

City Hatchback RS e:HEV dilengkapi sistem hibrid dua motor yang menukar mode pemanduan di antara EV, hibrid dan enjin secara automatik, bergantung kepada kondisi pemanduan. 

Bahagian dalaman pula nyata sporty dengan tempat duduk Ultrasuede dijahit benang berwarna merah. Tidak ketinggalan, meter TFT bersaiz 7 inci yang memaparkan segala maklumat pemanduan.

Skrin paparan bersaiz 8 inci pada papan pemuka menawarkan ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto. 

Bagi meningkatkan praktikalitinya, hatchback itu didatangkan dengan ULTRA Seats yang boleh diubah suai menjadi mode Utility, Long, Tall atau Refresh bergantung kepada keperluan. 

Tidak berkompromi dari segi keselamatan, jentera tersebut dilengkapi sistem Honda SENSING yang merangkumi ciri Adaptive Cruise Control (ACC), Collision Mitigation Braking System (CMBS), Forward Collision Warning (FCW), Lane Keep Assist System (LKAS), Road Departure Mitigation (RDM), Lane Departure Warning (LDW) dan Auto High Beam (AHB). 

City Hatchback RS e:HEV ditawarkan dalam tiga warna menarik iaitu putih, merah dan kelabu metalik. 

Google ads
Back to top button