
EV MINI, CITA RASA BESAR: HONDA SUPER-ONE BAWA DIMENSI BAHARU
Honda bakal memperkenalkan sebuah EV kecil yang bukan sekadar bergantung pada rupa comel.
Model yang dikenali sebagai Honda Super-One 2026 ini dibangunkan sebagai kereta elektrik bandar bersaiz kecil, namun direka khas untuk kegunaan dunia sebenar, lengkap dengan tahap keselamatan dan teknologi seperti sebuah kereta penumpang.
Diasaskan daripada platform Honda N-One e, Super-One tidak lagi terikat dengan definisi kereta kei. Casisnya diregangkan dan dilebarkan, membolehkan struktur badan yang lebih kukuh, jarak trek lebih luas serta pek bateri dipasang di bawah lantai bagi meningkatkan kestabilan.

Pendekatan ini menjadikan Super-One layak memenuhi peraturan keselamatan ketat di pasaran seperti Eropah, Australia dan New Zealand.
Dari segi reka bentuk, identiti ala kereta kei masih dikekalkan, namun dengan sentuhan lebih agresif. Lengkuk roda lebih menonjol, suspensi direndahkan dan rim lebih besar memberikan imej seakan hot hatch mini berbanding kenderaan bandar asas. Ia kecil, tetapi tidak lagi kelihatan “murah”.
Kuasa disalurkan ke roda hadapan melalui satu motor elektrik yang dijangka menghasilkan output melebihi had 47kW kereta kei. Bateri sekitar 30kWh pula mensasarkan jarak pemanduan kira-kira 290km (WLTP) — cukup ideal untuk kegunaan bandar.

Menariknya, Honda turut menyertakan Boost Mode yang mensimulasikan pertukaran gear, bunyi dan getaran, satu usaha memberi karakter pemanduan seperti yang pernah diterapkan pada model hibrid mereka.
Aspek keselamatan menjadi titik jualan utama. Berbeza dengan banyak EV kei yang gagal melepasi piawaian keselamatan Australia, Super-One direka dari awal untuk mematuhi Australian Design Rules (ADR) dan menyasarkan sekurang-kurangnya penarafan 4 bintang ANCAP, satu sasaran berani bagi kereta bersaiz kecil.
Untuk mencapainya, Honda melengkapkan Super-One dengan pakej penuh Honda Sensing. Ini termasuk kawalan jelajah adaptif, bantuan kekal lorong, brek kecemasan automatik, bantuan kesesakan trafik, pengecaman papan tanda kelajuan serta lampu tinggi automatik.

Spesifikasi ini jauh berbeza daripada Honda kecil generasi lama yang lebih minimalis dari segi ciri keselamatan.
Honda jelas memposisikan Super-One sebagai EV permulaan sebenar, bukan mainan bandar. Ia akan dijual melalui rangkaian pengedar rasmi di Jepun, Eropah, Australia dan New Zealand.
Di UK, model ini akan dikenali sebagai Super-N berikutan isu hak penamaan, namun konsepnya kekal sama.
Bagi pembeli yang memerlukan lebih ruang dan jarak pemanduan, Honda masih menawarkan model hibrid seperti CR-V, tetapi Super-One diwujudkan sebagai pintu masuk kepada dunia EV Honda – kecil, praktikal, selamat dan direka untuk kehidupan bandar moden.

