
FARADAY FUTURE HANYA CATAT 401 PRA-TEMPAHAN UNTUK MODEL FF 91, LEPAS LIMA TAHUN!
Tidak semua jenama syarikat pemula automotif mempunyai nasib yang positif.
Lima tahun lalu, jenama Faraday Future yang lahir dari Amerika Syarikat mendedahkan sebuah model FF 91 dengan tiga motor elektrik berkuasa 1,050 hp, prestasi pecutan 0-96 km/j dalam 2.39 saat, serta pek bateri 130 kWh yang membenarkan jarak operasi sejauh 608 km.
Namun, Faraday Future hanya sekadar mencatatkan jumlah pra-tempahan model FF 91 berjumlah 401 unit sahaja selepas lima tahun model tersebut didedahkan buat pertama kali.
Kesemua 401 unit pra-tempahan tersebut memerlukan wang deposit yang boleh dipulangkan semula sebanyak $5,000 (RM21,848) untuk model Futuristic Alliance Edition dan $1,500 (RM6,554) untuk model standard Futurist.
Namun begitu, tidak semua unit yang direkodkan itu bakal diterjemahkan kepada unit jualan yang sebenar, ini kerana biarpun harga jualan masih lagi belum diumumkan, terdapat jangkaan harga jualan asal melebihi angka $200,000 (RM873,900) untuk pembeli di Amerika Syarikat.
Beberapa bulan yang lalu, Faraday mengakui mereka sebenarnya tidak mempunyai jumlah tempahan sebanyak 14,000 unit seperti yang dicanangkan, sebaliknya angka tersebut hanyalah sekadar petunjuk minat yang tidak berbayar.
Dari sudut prestasi kewangan, Faraday Future terus mencatatkan kerugian operasi berjumlah $149 juta (RM651 juta) untuk tempoh tiga bulan berakhir 31 Mac 2022, berbanding jumlah $19 juta (RM83 juta) untuk tempoh yang sama tahun lalu.







