MYVI EDISI S BUKAN MODEL RASMI PERODUA
Pada 4 Julai 2020, Perodua Brunei telah memperkenalkan varian Myvi 1.3L G versinya sendiri, dikenali sebagai Edisi S.
Myvi Edisi S mendapat perhatian netizen kerana penampilan sporty dan dikatakan kelihatan seperti Myvi GT yang pernah dipamerkan oleh Perodua pada acara Kuala Lumpur Internasional Motor Show (KLIMS 2018).
Namun, bagi menjelaskan kekeliruan yang timbul dalam kalangan peminat Myvi di Malaysia, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad telah mengeluarkan satu kenyataan rasmi petang tadi.
Hatchback itu hadir dengan kit badan yang dipertingkatkan dan diperolehi sendiri oleh pengedar sah Perodua di sana, GHK Motors.
“Kami telahpun berinteraksi dengan GHK Motors untuk mendapatkan maklumat yang lebih lanjut mengenai varian ini. Selain untuk memastikan penambahan kepada varian ini memenuhi piawaian yang ditetapkan.
“Berdasarkan maklum balas daripada GHK Motors, pengenalan Myvi Edisi S ini adalah percubaan mereka untuk memperkenalkan varian yang lebih bersesuaian dan memenuhi kehendak pasaran di sana.
“Kami memahami bahawa pengenalan Myvi Edisi S telah menimbulkan kekeliruan para pelanggan setia kami. Kami berharap agar kenyataan ini dapat menjelaskan perkara tersebut,” jelas Zainal.
OK dah jelas kan?? Kita tunggu sahaja Perodua hasilkan Myvi GT. Bila tu, belum tahu lagi.