" "
Artikel Pilihan

FERRARI F50 GT – JENTERA PERLUMBAAN UNGGUL YANG TIDAK PERNAH BERPELUANG BERAKSI

Inilah sebuah Ferrari unik lagi rare yang dicipta untuk perlumbaan tapi tidak pernah berpeluang beraksi di litar perlumbaan. Kesian kan? Peminat Ferrari semestinya mengenali F50 sebagai model ulang tahun Enzo Ferrari. Ia menjadi asas kepada F50 GT yang dipersiapkan untuk membawa cabaran Ferrari ke perlumbaan GT1. Ujian yang dilakukan pada tahun 1996 juga menunjukkan keputusan yang menakjubkan tapi sayangnya projek F50 GT ini dibatalkan terus.

Ini semua gara-gara proses homologasi. Ia mencetuskan idea untuk menghasilkan F50 GT tapi ia juga menyebabkan pembangunan kereta ini dihentikan. Sebelum F50 GT dihasilkan, peraturan homologasi menetapkan yang jentera perlumbaan mesti dibangunkan dari model jalanan yang sudah dipasarkan.

Ferrari melakukan segala jenis naik taraf yang ada dalam pengetahuan mereka untuk membangunkan F50 GT. Kuasa enjin ditingkatkan, kelegaan bumi direndahkan lagi dan penggunaan rim aluminum ringan dan beberapa komponen serat karbon digunakan untuk mengurangkan berat hampir 200 kilogram. Hasilnya ialah kuasa pecutan 0-100 kmj hanya dalam masa 2.9 saat dan kelajuan maksima 380 kmj!

Namun sayangnya projek F50 GT telah dihentikan terus. Sebab apa? Sebab peraturan homologasi juga. Jika sebelum ini jentera perlumbaan GT1 mesti dibangunkan dari jentera jalanan (sama seperti F50 GT) dan mesti dipatuhi oleh kesemua pengeluar, kini berlaku sedikit perubahan pada peraturan tersebut.

Kesempatan itu diambil oleh Porsche, McLaren dan Mercedes untuk mneghasilkan jentera perlumbaan serba baharu sebelum dijelmakan kepada beberapa unit model jalanan sebagai pelengkap syarat. Dah jadi macam terbalik pula prosesnya. Ia memberikan kelebihan besar kepada ketiga pengeluar tersebut berbanding Ferrari yang menaiktaraf model sedia ada.

Tapi itu jika dinilai dari segi perlumbaan. Memang F50 GT tidak mempunyai pengalaman dalam perlumbaan tapi berdasarkan jumlah yang dihasilkan, ia telah menjadi model yang sangat rare dan buruan para pengumpul yang berkemampuan di seluruh dunia.

Daripada enam chasis yang dihasilkan hanya tiga yang berjaya disiapkan. Selebihnya dimusnahkan untuk mengelakkan mana-mana pihak mendapat faedah daripada proses R&D Ferrari.

Tiga unit yang berjaya disiapkan kemudiannya dijual kepada pelanggan-pelanggan terbaik mereka dengan satu syarat ketat: F50 GT tidak dibenarkan diguna dalam mana-mana perlumbaan. Kalau nak pandu pergi tonton lumba kuda tak apa kot?

Google ads
Back to top button