Artikel Pilihan

FORD FIESTA TERKONTOT DI DUNIA – HANYA BOLEH DITEMUI DI WASHINGTON

Kalau anda pernah ke Washington, ataupun bekerja di sana, anda berpeluang melihat sebuah Ford Fiesta yang lain dari yang lain. Lihat dari depan sama macam Ford Fiesta biasa tapi bila dilihat dari tepi memang nampak unik dan… kontot.

Fiesta ini sebenarnya sudah lama dilihat di jalan-jalan raya Washington. Gambar-gambarnya juga pernah disiarkan oleh Reddit lapan tahun lepas. Sekarang ia kembali tular di laman sosial berikutan ukurannya yang…kontot.

Secara amnya, Ford Fiesta ni memang sebuah kereta bersaiz kecil tapi nampaknya pemilik Fiesta ini mahu ia menjadi lebih kecil ala Smart For Two. Mungkin nak beli Smart For Two susah sangat kat sana kot? Mungkin la, kami pun dah lama tak balik Washington.

Seorang pengguna media sosial memberikan teori kononnya Fiesta merupakan model standard cuma mungkin pemiliknya telah memotong bahagian tengah dan mempaterikan semula bahagian belakang dengan bahagian hadapan. Hasilnya ialah sebuah Fiesta kontot dengan jarak tapak roda sekitar 3.5 kaki dan panjang keseluruhan kurang dari enam kaki.

Paling menggelikan hati ialah bahagian bumbung yang tidak selaras antara depan dan belakang membuatkan ianya sedikit berbonggol. Kalau tengok dari belakang ada jugak sikit-sikit nampak seperti spoiler bumbung.

Cuma satu je terlintas di fikiran kami. Selamat ke kereta ni? Kalau kena hentam dari belakang memang mengucaplah siap-siap. Rasanya Fiesta ini bukannya hasil air tangan bengkel professional dan mungkin ia juga hasil cantuman selepas terlibat dalam kemalangan. Eh sana tak ada JPJ ke hah?

Google ads
Back to top button