
LUCID TIDAK RELA TEMPAHAN DIBATALKAN, PENIAGA DAN PEKERJA BAWAH TEKANAN. CALL SAMPAI DAPAT!
Pengeluar kenderaan elektrik, Lucid dilihat berusaha keras menyusun strategi untuk memastikan pelanggan tidak membatalkan tempahan dan cuba membuat penghantaran sebelum akhir tahun ini.
Pengedar Lucid kini berada di bawah tekanan yang hebat untuk mengurangkan pembatalan berdasarkan e-mel telah dihantar, selain protokol terperinci dicipta oleh Lucid.
Lucid melaporkan kerugian bersih pada suku ketiga 2022. Tetapi masih berada di landasan yang betul untuk mencapai matlamat menghantar 6,000 hingga 7,000 kenderaan tahun ini, meskipun menyasarkan 20,000 penghantaran pada mulanya.

“Setiap pembatalan adalah kegagalan,” jelas satu kenyataan melalui e-mel yang dihantar. Pengedar Lucid diberi tempoh 24 jam untuk menghubungi pelanggan bagi memastikan tempahan mereka tidak dibatalkan.
Jika pelanggan tidak dapat dihubungi, peniaga dikehendaki menghubungi sebanyak tiga kali secara berturut-turut. Sekiranya masih tidak berjaya, pengurus dan kemudian pengurus wilayah dikehendaki menghubungi pelanggan tersebut.
Sekiranya pelanggan masih tidak melayani sebarang komunikasi dalam tempoh dua minggu, maka Lucid terpaksa melakukan proses pembatalan tersebut.
Walau bagaimanapun, tindakan itu mendapat tentangan dari pekerja Lucid sendiri yang mendakwa ia seolah-olah memaksa pelanggan untuk meneruskan tempahan.
Bagi sesetengah pekerja Lucid, terdapat lebih banyak berita buruk kerana tempoh “blackout” mula diperkenalkan pada akhir tahun ini, termasuk tempoh 17 Disember hingga 31 Disember. Sesetengah pekerja Lucid tidak dapat mengambil cuti kerana perlu mengekalkan segala tempahan yang telah dibuat.
Penghantaran untuk model Lucid Air Pure dan Touring baharu dimulakan pada November. Sementara SUV Gravity baharu yang didedahkan bulan lepas masih dalam perjalanan.
Lucid Air Pure ialah salah satu varian paling kritikal kerana ia satu-satunya sedan Air dengan harga permulaan di bawah AS$90,000 (RM397,620).
Pada Ogos, Lucid mempunyai kira-kira 37,000 tempahan yang tidak dipenuhi. Dengan hanya sehingga 7,000 kereta dijangka dikeluarkan pada 2022, maka tidak hairanlah pembatalan dibuat oleh pelanggan.




