Buletin

FORD HENTI JUALAN FIESTA TIGA PINTU DI EROPAH

Selepas 46 tahun produksi, nyawa Ford Fiesta model tiga pintu nampaknya bakal berakhir di Eropah selepas tahun 2022.

Ini kerana, Ford dalam satu kenyataan mengesahkan penamatan penawaran model tersebut di benua itu, serta menghentikan produksi Fiesta tiga pintu pada musim panas ini.

Menurut laporan Motor1, Ford dikatakan mahu meringkaskan penawaran model Fiesta demi memenuhi permintaan pelanggan yang pelbagai, dan varian yang kurang popular akan terus dikeluarkan daripada penawaran tersebut.

Laporan Automotive News Europe menyebut sesetengah pengedar Ford di UK sudah pun menghentikan tempahan sesetengah model yang dilengkapi opsyen tertentu, malah tempahan bagi model Fiesta ST tiga pintu juga turut dihentikan sama sekali.

Namun, jika dilihat dari sudut realiti, Ford Fiesta berhadapan dengan angka jualan yang semakin menurun.

Untuk dua bulan pertama tahun 2022, Fiesta hanya terjual sebanyak 7,608 unit sahaja, berbanding 19,844 unit untuk tempoh yang sama tahun lalu.

Krisis kekurangan bekalan cip semikonduktor mungkin penyumbang kepada penurunan angka tersebut, ditambah pula dengan trend semasa di mana pelanggan kini lebih menggemari bentuk badan crossover berbanding hatchback konvensional. – Automotive News Europe

Google ads
Back to top button